TOKYO, 20 OGOS – Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun memutuskan hari ini untuk mengadakan pemilihan presiden pada 27 September bagi memilih pengganti Perdana Menteri Fumio Kishida, dengan tempoh kempen selama 15 hari bermula 12 September, lapor Kyodo News.
Pemilihan ini, yang pertama sejak 2021 ketika Kishida dipilih sebagai ketua parti dijangka menyaksikan 11 calon bertanding bagi jawatan tertinggi, dengan pemenang dijangka
dilantik sebagai perdana menteri, memandangkan parti pemerintah menguasai kedua-dua dewan parlimen.
Pengumuman mengejut Kishida minggu lalu bahawa beliau tidak akan bertanding semula telah mendorong ramai tokoh LDP untuk mempertimbangkan pencalonan, dengan pemenang akan diberi tanggungjawab memulihkan kepercayaan terhadap parti yang terhakis oleh ketidakpuasan hati terhadap kaitan anggota parti dengan Unification Church yang kontroversi serta skandal dana politik yang berlarutan. – Bernama
