Thursday, June 20, 2024
23 C
Brunei

    -

    Pasangan abaikan anak damit tukar pengakuan

    CHUKAI, 28 MEI – Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak damit lelaki mereka berusia tujuh hari, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Chukai, Terengganu, Malaysia hari ini.

    Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, menukar pengakuan itu di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan mohon dibicarakan.

    Wan Suhaila kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    Mengikut pertuduhan dibacakan pada Khamis lepas, kedua-dua pasangan itu dituduh secara bersama sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas bayi itu didapati mengabaikan dengan cara mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai ayam di Jalan Air Putih di sini antara 7 hingga 7.15 pagi, 18 Mei lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)  akta sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pada 23 Mei, Wan Suhaila membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh hukuman dijatuhkan. 

    Pada 18 Mei lepas, seorang anak damit lelaki yang sudah tertanggal tali pusat dijumpai di atas lantai sebuah kedai menjual ayam dengan hanya beralaskan baju dan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7:30 pagi.

    Anak damit cukup sifat seberat tiga kilogram itu dilahirkan pada 12 Mei di sebuah rumah di Jabur Kubur sebelum ditinggalkan di kedai berkenaan pada 18 Mei dan pasangan kekasih itu ditahan di dua lokasi berasingan pada 20 Mei. – Bernama

    Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Chukai, Terengganu atas pertuduhan mengabaikan anak damit lelaki mereka berusia tujuh hari, menukar pengakuan tersebut hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan keluar nasihat gelombang haba

    SEOUL, 19 JUN - Agensi cuaca Korea Selatan pada hari ini mengeluarkan nasihat gelombang haba ketika suhu meningkat di seluruh negara. Nasihat gelombang haba itu...