KUALA LUMPUR, 10 MAC – Penyandang juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan satu lagi kegagalan selepas gagal mara ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim.
Pasangan nombor dua dunia itu tewas secara mengejut 13-21, 18-21 kepada pasangan nombor 25 dunia Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun pada pusingan kedua kejohanan Super 300 awal semalam. Pasangan Jepun itu akan menentang Jeppe Bay-Lasse Molhede dari Denmark pada saingan peringkat lapan terakhir, lewat hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini menyertai senarai pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang kesemuanya tewas dalam saingan pusingan kedua.
Sementara itu, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menyingkirkan pasangan Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance dengan keputusan 21-18, 21-15 dalam masa 39 minit, untuk menempah tempat ke saingan suku akhir kejohanan. Beregu nombor enam dunia itu akan dicabar oleh pasangan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.
Satu lagi wakil Malaysia di saingan suku akhir ialah beregu campuran, Chen Tang Jie-Teoh Ee Wei, yang menewaskan pemain Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-11, 24-22, dan mereka nanti akan bertembung satu lagi pasa-ngan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun. – Bernama
