Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pasangan suami isteri jelajah dunia dengan EV

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Sepasang suami isteri, Gloria Chee Shin Yi dan suaminya, Fan Yuhu yang dalam perjalanan mengelilingi dunia dengan hanya menggunakan kenderaan elektrik (EV) telah singgah di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

    Ini adalah kali ketiga Fan Yuhu melawat Brunei di mana dalam pengembaraan beliau sebelum ini, A Man Conquered the Earth, Fan Yuhu telah berjaya mengembara enam benua secara bersendirian menggunakan vannya untuk mencari pasangan hidup dan berada di negara ini pada 2022 dan 2023.

    Fan Yuhu telah menulis sebuah buku tentang perjalanannya dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembaca seluruh dunia.

    Perjalanan terbaharunya bersama isteri, Gloria bermula dari Johor Bahru, Malaysia pada 16 September 2023 dan kemudian menuju ke Thailand; Laos; Yunnan, China, dan Kemboja kemudian kembali ke Malaysia dan pergi ke Kota Kinabalu. Pada 3 Februari, pasangan itu tiba di Brunei Darussalam.

    Dalam temu bual, Fan Yuhu berkata, “Kami mahu mencabar diri kami menggunakan EV (BYD Otto 3) untuk memandu jarak jauh. Kami sedang cuba untuk melancong ke sekitar 100 buah negara di seluruh dunia dalam masa 800 hari. Kami akan menuju ke Miri, Sarawak dari Brunei minggu depan.”

    Gloria Chee Shin Yi dan Fan Yuhu bergambar bersama EV mereka dengan berlatarbelakangkan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. – GAMBAR SERAHAN GLORIA CHEE SHIN YI
    EV pasangan suami isteri berkenaan dicas. – GAMBAR SERAHAN GLORIA CHEE SHIN YI

    Beliau menambah, “Kami dalam pengembaraan bajet. Selepas membeli EV, kami tidak lagi mempunyai banyak wang. Kami tidur di dalam kereta pada waktu malam dan meminta pengecasan percuma daripada hotel-hotel. Di Brunei, kami sangat bertuah dan menghargai Hotel Al-’Afiah yang membenarkan pengecasan elektrik percuma serta sarapan dan penginapan.”

    Semasa berada di Brunei, mereka melawat banyak tarikan pelancongan tempatan dan bertemu penduduk tempatan bagi mempelajari budaya negara ini.

    Gloria Chee Shin Yi berkongsi, “Kami merasakan bahawa rakyat Brunei sangat mesra dan suka menolong.

    “Kami juga merasakan bahawa rakyat di Brunei sangat bertuah kerana tiada cukai pendapatan sedangkan perlindungan pendidikan dan kesihatan dijaga dengan baik oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Makanan di pasar malam memang murah, satu dolar sudah cukup untuk membeli makanan.”

    Pasangan itu turut melawat Maju Motors, pengedar tunggal EV BYD di Brunei Darussalam dan akan meninggalkan negara ini pada 16 Februari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...