Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasar Kitani dibuka semula

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Gerai hujung minggu, Pasar Kitani diadakan semula bermula kelmarin dalam memberikan platform alternatif bagi memasarkan produk hasil keluaran pertanian daripada pengusaha dan peladang tempatan dalam usaha untuk mengukuhkan lagi sektor pertanian di negara ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada pembukaan semula Pasar Kitani yang diadakan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta para pegawai dan kakitangan KSSUP termasuk jabatan-jabatan di bawahnya.

    Pasar Kitani sebelum ini telah diberhentikan buat sementara waktu disebabkan pandemik COVID-19, namun setelah langkah-langkah dan prosedur operasi standard mula dilonggarkan ia diadakan di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan seterusnya di sekitar kawasan letak kereta di Bangunan KSSUP sebelum gelombang ketiga COVID-19 melanda. Kini, ia diadakan semula di lokasi baharu di Dewan Melati, Pusat Hortikultur Rimba, Gadong dengan tema ‘Hasil Segar Peladang Kitani’.

    Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan penamaan baharu bagi Pusat Hortikultur Rimba, Gadong iaitu sebagai Pusat Agribisnes Rimba, Gadong. Penamaan baharu berkenaan adalah bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pemasaran hasil pertanian tempatan yang berkepelbagaian untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan keperluan harian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa merasmikan pembukaan semula Pasar Kitani.
    Yang Berhormat Dato semasa melawat salah satu petak di Pasar Kitani.

    Pusat berkenaan akan menyediakan sebanyak 63 buah petak untuk peladang-peladang yang akan menjual produk-produk hasil tempatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, produk ternakan mentah dan produk agrimakanan.

    Di samping itu, pusat berkenaan juga menawarkan jualan seperti tanaman hiasan serta bahan input pertanian seperti biji benih, baja, kimia pertanian, media tanaman, peralatan-peralatan keperluan pertanian dan jentera pertanian.

    Dengan pembukaan semula Pasar Kitani, ia dihasratkan dapat memberi peluang kepada para pengusaha dan peladang tempatan untuk meluaskan pasaran dan jaringan perniagaan, serta business matching di samping potensi untuk mengembang majukan perniagaan pengusaha dan peladang tempatan.

    Ini seterusnya diharap akan meningkatkan keluaran hasil ladang sehingga mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda