Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasar Tani Temburong ketengah produk tempatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Susulan kejayaan acara pertama yang lalu, Pasar Tani Temburong ke-2 kembali untuk mengetengahkan produk-produk usahawan tempatan, semangat kemasyarakatan serta kepelbagaian budaya.

    Pasar Tani Temburong ke-2 yang dianjurkan oleh Darussalam Enterprise (DARe), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) akan berlangsung di Supertree dan Waterfront, Temburong pada 25 November dan 26 November dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, pasaran tani yang bakal memukau para pengunjung berkenaan akan mengetengahkan persembahan tarian daripada golongan belia Temburong, photo booth untuk orang ramai bagi menangkap gambar kenangan menarik di pasar berkenaan dan juga menyertai dalam beberapa acara permainan festival yang sesuai bagi semua peringkat usia dengan harapan untuk menambah keseronokkan kepada pengalaman Pasar Tani Temburong itu.

    Para peserta juga berpeluang untuk mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan holistik dengan mengambil bahagian dalam sesi kesejahteraan dan senaman ringan.

    Acara tambahan itu dihasratkan untuk memberikan pengalaman komprehensif kepada para pengunjung bukan sahaja dengan memupuk pertumbuhan keusahawanan tetapi juga bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan seimbang semasa acara tersebut.

    Pasar Tani Temburong melangkaui lebih dari hanya kegiatan perniagaan, di mana ia merupakan sebuah platform bagi hubungan bermakna di antara pengeluar tempatan dan komuniti.

    Dengan penyertaan lebih 20 vendor, para pengunjung akan berpeluang untuk mendapatkan pelbagai produk hasil keluaran tempatan yang unik serta segar.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke Pasar Tani Temburong bagi menikmati keriangan, kekayaan budaya Temburong serta meneroka pelbagai produk menarik yang ditawarkan oleh usahawan tempatan.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda