Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pastikan akses pendidikan sama, saksama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Negara Brunei Darussalam melaksanakan beberapa inisiatif dalam memastikan akses pendidikan yang sama dan saksama bagi pelajar untuk mencapai potensi sepenuhnya seperti penubuhan Pasukan Sokongan Pembelajaran dan Pasukan Pemulihan Pembelajaran serta pelancaran Buku Panduan Sokongan Pembelajaran Brunei Darussalam.

    Perkara itu dikongsi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin semasa sesi pembentangan pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO HOM) ke-45 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 28 hingga 30 November.

    Beliau juga mengongsi mengenai inisiatif yang dijalankan untuk mengemas kini dan mempertingkatkan kurikulum subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Kewangan demi memastikan kurikulum berkenaan adalah relevan dengan keperluan abad ke-21.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, mesyuarat itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan Thailand, Dr Atthaphon Sangkhawasee selaku wakil Menteri Pendidikan Thailand, Puan Yang Terutama Treenuch Thienthong.

    Dalam ucapan perasmiannya, Dr At-thaphon Sangkhawasee menyampaikan penghargaan kepada Sekretariat SEAMEO atas pelaksanaan aktiviti-aktiviti di bawah tujuh bidang keutamaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Thailand antara lainnya amat menitikberatkan kemahiran abad ke-21 dan nilai-nilai etika serta akan terus memastikan tiada sesiapapun akan ketinggalan.

    Sesi pleno pada tahun ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Perundangan dan Kerjasama, Jabatan Pendidikan, Republik Filipina, Atty Gerard L Chan dan Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dilantik sebagai timbalan pengerusi.

    Mesyuarat berkenaan dimulakan dengan sesi perbincangan tertutup dan diikuti dengan sesi pleno di mana antara perkara-perkara yang telah dibincangkan ialah mengenai laporan-laporan kewangan Sekretariat SEAMEO dan pusat-pusat serantau SEAMEO, cadangan Rancangan Kemajuan Lima Tahun beberapa Pusat Serantau SEAMEO serta cadangan dan laporan projek atau program SEAMEO yang lain.

    Mesyuarat juga telah meluluskan beberapa cadangan kertas kerja yang akan dihadapkan kepada Majlis Persidangan SEAMEO yang akan datang.

    Semasa mesyuarat berkenaan, negara-negara anggota SEAMEO berpeluang untuk membentangkan perkembangan terkini mengenai dengan pelaksanaan tujuh bidang keutamaan SEAMEO di negara masing-masing.

    Bidang-bidang keutamaan berkenaan ialah pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, menangani halangan kepada penyertaan, kedayatahanan dalam berdepan kecemasan, mempromosikan latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal, pendidikan guru, penyelarasan dalam penyelidikan dan pengajian tinggi serta mengguna pakai kurikulum abad ke-21.

    SEAMEO HOM merupakan mesyuarat tahunan bagi pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli SEAMEO untuk melaporkan, membincangkan, serta merancang program, aktiviti dan operasi di bawah organisasi berkenaan.

    Ia dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli SEAMEO dan pengarah-pengarah dari kesemua 26 Pusat Serantau SEAMEO dan rangkaiannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...