Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JPMC
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Amalan ubat yang tidak selamat dan kesilapan ubat adalah punca utama kecederaan dan kemudaratan yang boleh dielakkan dalam sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia.
Memandangkan kesilapan pemberian ubat adalah salah satu punca utama kematian yang boleh dicegah, oleh itu pandangan yang lebih baik adalah diperlukan untuk mencegah kematian dan morbiditi.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Timbalan Pengerusi Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia, Minggu Kualiti Sedunia dan Hari Ahli Farmasi Sedunia yang berlangsung di Bangunan PJSC, hari ini.
Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Dato menekankan kebimbangan global mengenai keselamatan ubat-ubatan dan peranan penting profesional penjagaan kesihatan untuk memastikan keselamatan pesakit-pesakit.


Turut hadir pada majlis anjuran JPMC dan PJSC itu ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar bersama pengurusan kanan JPMC dan PJSC.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan yang disampaikan Pengurus Jaminan Kualiti JPMC, Awang Jeffry Damit yang antara lain mengongsikan perjalanan kualiti dan keselamatan pesakit JPMC dan PJSC sepanjang tahun.
Semua pekerja penjagaan kesihatan digesa menggunakan pendekatan proaktif untuk memastikan keselamatan ubat daripada menunggu kesilapan atau kecederaan pesakit berlaku.
Memandangkan kerumitan sistem penjagaan kesihatan, adalah penting bagi semua profesional penjagaan kesihatan, terutamanya doktor, jururawat, ahli farmasi dan kakitangan sokongan klinikal lain dinasihatkan untuk bekerjasama mencari jurang dalam sistem penjagaan kesihatan dan menggalakkan penggunaan ubat yang lebih baik.
Tema Hari Keselamatan Pesakit Sedunia tahun ini ialah ‘Keselamatan Ubat’ dengan slogan ‘Ubat Tanpa Kemudaratan’.
Sempena sambutan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru semua pekerja penjagaan kesihatan supaya, sebelum memberikan ubat kepada pesakit, pastikan ketahui ubat, semak ia untuk pesakit yang betul, ubat, laluan, dos, masa dan tanya pesakit jika mereka faham.
Untuk pesakit dan penjaga, sebelum mengambilnya, ketahui ubat, semak dos, masa dan tanya pakar penjagaan kesihatan.