Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Brunei Darussalam sentiasa komited dalam perlindungan wanita dan gadis dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan keselamatan, hak dan kesejahteraan mereka terjamin melalui undang-undang dan dasar-dasar yang melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga dan penderaan, sambil memberikan sokongan kepada penglibatan aktif mereka dalam pendidikan, pekerjaan dan kepimpinan.
Perkara itu dinyatakan dalam ucapan perutusan yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, satu kesempatan bagi menghargai sumbangan dan meraikan pencapaian wanita dan gadis.
Tema tahun ini, Untuk SEMUA Wanita dan Gadis: Hak. Kesamarataan. Pemerkasaan menekankan kepentingan menjamin hak, peluang yang saksama serta sokongan untuk mencapai potensi wanita sepenuhnya.
Sokongan sedemikian juga mesti datang dari dalam keluarga untuk memastikan peranan keluarga seimbang dan semua wanita diberi peluang dan ruang serta persekitaran yang kondusif untuk berkembang maju, supaya mereka boleh menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.
Dalam perutusan, Yang Berhormat Dato berkata hasil Penyelidikan Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam telah mengenal pasti beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan berkaitan penyertaan dan pencapaian wanita di negara ini, khususnya dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Dalam bidang pendidikan, kadar penyertaan pelajar perempuan di peringkat rendah dan menengah hampir 100 peratus, mencerminkan kejayaan dasar pendidikan wajib dan akses sejagat di negara ini.
Selain itu, wanita juga membentuk majoriti graduan di peringkat pengajian tinggi, terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perniagaan, dengan penyertaan yang semakin meluas dalam bidang-bidang teknikal dan ICT.
Dalam pekerjaan, penyertaan wanita dalam tenaga kerja juga kekal kukuh, dengan 76 peratus wanita berumur 25 hingga 54 tahun aktif menyumbang kepada ekonomi negara, di samping pencapaian membanggakan sebagai peneraju di peringkat ASEAN dengan 37 peratus jawatan pengurusan disandang oleh wanita.
Dalam sektor awam pula, wanita membentuk 56 peratus tenaga kerja, termasuk 65 peratus dalam jawatan pengurusan kanan.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato berkata tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 Beijing Declaration and Platform for Action (BPFA) yang bertujuan untuk memajukan hak dan penyertaan wanita dalam semua aspek kehidupan.
“Laporan kemajuan BDFA antara lain menunjukkan wanita di negara ini terus menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang kepimpinan dan membuat keputusan yang mana pada tahun 2022, hampir separuh daripada setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap adalah daripada golongan wanita. Wanita juga memegang jawatan utama seperti menteri, timbalan menteri, duta besar, ketua awam dan swasta.
“Selain itu, wanita turut aktif dalam perniagaan dengan sokongan daripada sektor awam dan swasta, terutamanya dalam latihan digital dan kewangan. Data terkini dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi menunjukkan bahawa setakat Februari 2025, seramai 7,630 wanita telah berdaftar di bawah Daftar Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan, manakala 15,878 entiti perniagaan dimiliki oleh wanita,” kata beliau.
Yang Berhormat Dato menjelaskan meskipun kemajuan yang membanggakan telah tercapai, sokongan berterusan bagi golongan wanita daripada semua pihak masih diperlukan. Antara inisiatif yang terus memperkasakan wanita termasuklah Projek IDEAS (Meningkatkan Penyertaan Ekonomi Digital untuk Wanita ASEAN MSME), satu inisiatif ASEAN yang dibiayai oleh ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) untuk memperkasa usahawan wanita di negara-negara serantau.
Di Negara Brunei Darussalam, projek tersebut akan dilaksanakan melalui DARe dengan kerjasama salah satu NGO, dan akan melatih 242 usahawan wanita dalam 15 kohort dari bulan Jun 2024 hingga bulan Disember 2025, yang mana program latihan akan merangkumi e-dagang, pemasaran digital dan pembangunan modal perniagaan.
“Selain itu, Program Academy for Women Entrepreneurs (AWE), yang disokong melalui Department of State’s Bureau of Educational and Cultural Affairs Amerika Syarikat, terus menyokong usahawan wanita tempatan melalui latihan perniagaan, bimbingan dan rangkaian sokongan. Sejak dilancarkan pada tahun 2021, di Brunei Darussalam, melalui DARe, seramai 66 usahawan wanita telah menamatkan program ini.
“Sebelum menceburi alam pekerjaan, Program Bersedialah Wanita (PREPanita), anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat berjaya dijalankan secara konsisten selama empat tahun berturut-turut sejak 2021 kepada graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Program ini bertujuan mempertingkatkan kesedaran tentang kepentingan hak-hak wanita, mempersiapkan diri wanita dan juga lelaki untuk cekal menghadapi masalah atau musibah dengan lebih berdaya tahan dan memberi pendedahan kepada Work-life Harmony,” tambah beliau.
Yang Berhormat Dato juga menegaskan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus komited dalam memperkukuhkan hak, kesaksamaan dan kesamarataan wanita serta gadis melalui inisiatif nasional, rangka kerja antarabangsa serta kerjasama bersama rakan strategik.
Apabila wanita diberi ruang untuk berkembang, ia akan membawa kepada keluarga yang lebih kukuh, masyarakat yang harmoni dan negara sejahtera.
“Akhir kata, diucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua kaum wanita di Negara Brunei Darussalam. Didoakan semoga terus maju jaya dalam perpaduan dan membangun masyarakat dan ekonomi demi raja, negara, bangsa dan agama.”