Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) sebagai agensi fokal kebangsaan bagi ASEAN Occupational Safety and Health Network (ASEAN-OSHNET) telah menganjurkan bengkel mengenai topik ‘Menyemak Amalan Kecergasan Kerja Dan Peluang bagi Penyelarasan – Kawalan Kesihatan Pekerjaan Di Tempat Kerja dan Kesediaan Pekerja” di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi , Anggerek Desa serta secara maya baru-baru ini.
Hadir bagi melancarkan bengkel tersebut dan menyampaikan ucapan alu-aluan ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Dalam ucapannya, Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menggesa pemeriksaan kecergasan pekerja yang lebih teliti bukan sahaja pada permulaan pekerjaan tetapi juga secara berkala yang ditetapkan dan kerap tertakluk kepada jenis pekerjaan dan risiko yang terdedah.
Beliau juga mengumumkan bahawa pihak SHENA sebagai penguatkuasa keselamatan dan kesihatan tempat kerja, dengan sokongan Kementerian Kesihatan, kini sedang merangka Peraturan Pemeriksaan Perubatan, yang akan membantu menguatkuasakan pemeriksaan perubatan yang sesuai untuk dijalankan secara rutin bagi memastikan pekerja menerima sokongan perubatan yang berpatutan serta pematuhan daripada pihak majikan.
Secara global, kematian akibat penyakit berkaitan pekerjaan dianggarkan lebih tinggi daripada kematian disebabkan oleh kemalangan tempat kerja. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan bahawa setiap hari 6,500 orang maut akibat penyakit berkaitan pekerjaan berbanding 1,000 orang akibat kemalangan tempat kerja sekali gus menyarankan bahawa masalah yang dinamik ini memerlukan usaha pelbagai disiplin bagi menangani penyakit tempat kerja yang ‘tidak kelihatan’ melalui penyertaan aktif pekerja, majikan, kerajaan dan pakar keselamatan dan kesihatan tempat kerja.
Diagnosis penyakit tempat kerja memerlukan pengetahuan perubatan dan pengalaman yang khusus, penambahbaikan mekanisme laporan serta pemerkasaan pekerja terhadap akses kepada maklumat serta pampasan.
Antara objektif bengkel tersebut adalah bagi mengenal pasti dan mempertimbangkan senarai ujian perubatan yang relevan bagi pelbagai pekerjaan di dalam industri melalui perkongsian amalan serta pengalaman di serantau negara anggota ASEAN bagi Penilaian Kecergasan Kerja dan Program Pengawalan Perubatan untuk memastikan pematuhan undang-undang serta ketekalan dengan amalan terbaik industri.
Bengkel tersebut bertujuan untuk merealisasi Pelan Kerja ASEAN-OSHNET 2021-2025 di bawah kawasan tematik ‘Menguatkan Kesihatan Pekerjaan di Tempat Kerja’ yang menyumbang kepada pelaksanaan langkah strategik ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Blueprint 2025 dalam menyokong pelaksanaan yang dipercepatkan antara negara anggota ASEAN bagi memanjangkan, memperluaskan, kebolehcapaian, kesaksamaan, mampu milik dan kemampanan perkhidmatan dan perlindungan sosial.
Pembentangan disampaikan oleh negara anggota ASEAN dan bagi Brunei Darussalam, ianya termasuk peluang penambahbaikan kesihatan pekerjaan dan amalan kecergasan bagi pekerjaan menerusi peningkatan program promosi kesihatan melalui pelbagai platform serta cadangan bagi program latihan tempatan yang formal bagi meningkatkan kompetensi.