Gambar AP
LONDON – Heather Howarth menyentap telinga Raja Charles III dan tertawa dengan puas.
Wanita-wanita lain yang berkumpul untuk mengait dan berbual di kampung kecil di England berfikir telinga itu sepatutnya lebih besar. Tetapi apabila mencipta imej raja baharu dengan patung rajut, dia berazam tidak menimbulkan sebarang perasaan tersinggung.
“Mungkin dia tidak menyukai yang satu ini,” katanya sambil menepuk-nepuk patung raja dengan mesra. “Tetapi dia pasti menyukai Pengawal Grenadiernya!”
Howarth dan rakan-rakannya di kampung Hurst, yang terletak tidak jauh dari Reading, barat London, telah mencipta perarakan pertabalan daripada bulu kambing biri-biri sebagai tanda kemeriahan dan kegemilangan acara yang akan berlangsung pada 6 Mei di Westminster Abbey apabila Charles ditabalkan sebagai raja.
Dengan menyarungkan 29 tiang yang mengelilingi kolam komuniti dengan ciptaan patung krusye dan rajut mereka, wanita-wanita ini telah mencipta semula watak-watak yang akan hadir pada acara itu.
Sudah tentunya terdapat raja, permaisuri dan juga Ketua Biskop Canterbury. Dan ramai Pengawal Grenadier. Malah mereka memasukkan Paddington Bear – ahli kehormat keluarga diraja selepas dia minum teh bersama mendiang Ratu Elizabeth II dalam sebuah filem yang meraikan sambutan 70 tahun pemerintahan beliau.
Hurst Hookers adalah sebahagian daripada fenomena yang telah tersebar di seluruh Britain dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan penggemar krusye meraikan musim cuti dan acara diraja dengan menghiasi peti surat ikonik merah negara dan tempat awam lain dengan hasil kerja tangan mereka. Tiada wang yang diperoleh daripada aktiviti sedemikian dan hasil ciptaan mereka ada kalanya dicuri.
Tetapi mereka tetap melakukannya kerana mereka berasa seronok menceriakan komuniti mereka, walaupun tiada sesiapa yang meminta mereka melakukannya.
Kumpulan perajut yang dikenali sebagai ‘pengebom benang yan’ di seluruh negara telah bekerja keras selama beberapa bulan mencipta segala-galanya daripada kereta kuda emas kepada istana berbaluarti dan mahkota bertatahkan permata yang akan menambahkan keceriaan sambutan kemahkotaan tersebut.
Tetapi bagaimana pula dengan Hurst?
Ia adalah kumpulan yang bermula semasa pandemik koronavirus, berjumpa beberapa minggu sekali di kelab kriket tempatan. Mereka membawa minuman keras sendiri, tetapi terdapat teh untuk mereka yang ingin meminumnya. Apabila 18 wanita ini tidak berjumpa untuk aktiviti mengait dan komuniti, mereka berhubung melalui WhatsApp.
Mereka bermula merancang dan menghasilkan adegan pertabalan sejak September, tidak lama selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II dan Charles menjadi raja. Pada April, tiba masanya untuk memasang hasil ciptaan mereka.
Tindakan ‘gerila’ ini bermula sejurus selepas jam 5:30 petang pada Jumaat baru-baru ini ketika matahari terbenam menerangi kolam yang baru dibersihkan dalam cahaya yang damai.
Berpakaian dalam jaket dan sweater pada malam musim bunga yang sejuk, wanita berkenaan tiba bersama hasil tangan mereka yang disimpan dalam beg beli-belah besar dengan logo pasar raya, kemudian menyerbu tiang-tiang yang mengelilingi kolam.
Pertama sekali, mereka menarik keluar ciptaan krusye Charles, memakai mahkota dan jubah yang dibentuk daripada stoking Krismas lama, dan Camilla, dengan rambut warna perangnya yang kusut. Kemudian tiba giliran ketua biskop, dengan cermin matanya bertenggek pada hidung bulat yang diperbuat daripada benang bulu. Dan akhir sekali, tentera berpakaian merah.
Semua patung berkenaan dengan segera disarung di peti surat, dipasang menggunakan dawai kokot di mana tumpuan khas diberikan kepada pingat, misai, jalur sarjan dan hiasan lain.
“Howarth berkata, ‘Raja Charles ingin sokongan kita, bukan? Bagaimana lagi saya nak tunjukkan sokongan saya padanya?’”
Valerie Thorn, yang menjahit sulaman, membuat penyelidikan teliti pada semua hiasan, supaya setiap pingat datang dari kempen berbeza yang disertai oleh pengawal. Tanda kebesaran di dada Charles adalah amat teliti sehingga dari jarak beberapa kaki, awda akan tersilapnya dengan tanda kebesaran sebenar. Miter atau topi tinggi ketua biskop, dibentuk mengikut topi yang dipakai pada pelantikannya, mudah dikenal pasti.
Setakat ini, patung sarjan yang gempal nampaknya menjadi kegemaran penduduk kampung.
Seorang penulis ruangan akhbar Daily Mail menggambarkan ciptaan berkenaan sebagai ‘tidak siuman… delinkuen sakhlat.’ Tidak berasa tersinggung, wanita-wanita Hurst menerima jenaka tersebut dengan hati terbuka.
“Saya akan menyulamnya pada kemeja-T,’’ kata Thorn, 76, dengan bangga. “Kalau saya tidak waras, apa salahnya?’’
Dan apabila pemasangan hampir siap, tiba saatnya untuk menghias patung-patung krusye itu.
Pip Etheridge mengeluarkan Mahkota St Edward – mahkota yang akan diletakkan di atas kepala Charles minggu depan – dan menyerahkannya kepada Janette Vorster kerana dia tidak mahu gambarnya disiarkan dalam akhbar.
Dalam perarakan mereka sendiri, kumpulan itu menuju ke kedai kampung untuk memasang mahkota di atas peti surat.
Semasa mereka berbual di sekitar peti surat, kumpulan tersebut berdebat sama ada hasil kerja mereka lebih berkaitan dengan pertabalan atau mengenai diri mereka. Mereka ketawa, berbual tentang memuat naik foto-foto mereka di media sosial, dan tertanya-tanya apa yang akan dikatakan oleh jiran.
“Kalau kita menukar yang ini dengan yang sebenar,” tanya Etheridge sambil menunjukkan mahkotanya, “kamu fikir dia akan perasan?” – AP