Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB raih tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak UBD

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Politeknik Brunei (PB) meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Sepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2021 Antara Institusi Pengajian Tinggi setelah menang 4-1 ke atas Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung di Padang A Kompleks Sukan UBD hari ini.

    KUPU SB menikmati permulaan yang baik apabila mendahului perlawanan menerusi Awangku Muhd ​​Afiq bin Pengiran Haji Suhaili pada minit kedua.

    Namun, Awangku Abu Dzar bin Pengiran Zaidi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18 sebelum Mohd Amirrahimi bin Abdul Hamid menjaringkan gol kedua PB pada minit ke-35.

    PB terus memberi tekanan kepada KUPU SB ketika Mohd Helmi bin Tuan berjaya merubah kedudukan kepada 3-1 sebelum Awangku Abu Dzar melengkapkan kemenangan selesa pada minit ke-60. PB berhasil menebus kekalahan 0-1 mereka sebelum ini kepada pasukan yang sama semasa pertemuan pusingan awal mereka pada 22 Jun yang dijaringkan oleh Awangku Muhd ​​Afiq, yang juga merupakan gol tunggal dalam perlawanan Kumpulan A itu.

    Kejohanan akan berakhir dengan perlawanan akhir yang dinanti-nantikan antara UBD dan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada 3 Ogos ini.

    Kejohanan, yang bermula pada 14 Jun lalu itu disertai sebanyak 10 buah pasukan dari institusi-institusi pengajian tinggi.

    Anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Persatuan Pelajar UBD, kejohanan ini bertujuan untuk mengenal pasti pemain yang berpotensi mewakili pasukan bola sepak institut pengajian tinggi pada kejohanan akan datang di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

    Pasukan PB bergambar ramai bersama trofi kemenangan mereka setelah berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Sepak UBD 2021, kelmarin. – Gambar serahan PMUBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda