Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PBB: Ramai lagi akan terkorban akibat kepungan di Gaza

    BAITULMAQDIS, 27 OKT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini bahawa lebih ramai orang akan mati akibat pengepungan berterusan Israel di Gaza.

    Selain itu, pengepungan itu juga menyebabkan air sisa kumbahan mengalir di jalan-jalan kawasan Palestin.

    Israel melaksanakan pengepungan penuh terhadap Gaza selepas serangan oleh Hamas pada 7 Oktober, sehingga mengakibatkan pemutusan bekalan makanan, bahan bakar, air dan bekalan tenaga elektrik ke wilayah tersebut.

    “Apabila kita bercakap orang di Gaza sedang nazak, mereka bukan sahaja mati akibat bom dan serangan, tidak lama lagi ramai lagi yang akan mati akibat (kepungan) yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza,” kata Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Jeneral Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

    “Perkhidmatan asas sedang merosot, kehabisan ubat-ubatan, makanan dan air semakin berkurangan dan jalan-jalan di Gaza sudah mula dipenuhi air sisa kumbahan.”

    Seorang rakyat Palestin meratapi saudara mara yang terkorban dalam pengeboman Israel di luar bilik mayat di Rafah kelmarin. – AP

    Lazzarini menggesa agar lebih banyak bantuan segera dibenarkan masuk ke Gaza semasa sidang media di Baitulmaqdis.

    “Sistem semasa yang berkuat kuasa akan gagal. Apa yang diperlukan adalah bantuan yang tidak terputus-putus. Untuk menjayakannya, kita memerlukan gencatan senjata kemanusiaan untuk memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Lazzarini.

    Konvoi bantuan yang terhad telah memasuki Gaza melalui Sempadan Rafah dengan Mesir, tetapi ketua UNRWA mencatatkan bahawa bantuan tersebut tidak termasuk bahan bakar. Bahan bakar adalah penting untuk menjaga perkhidmatan kritikal seperti bekalan elektrik dan perkhidmatan kesihatan agar berfungsi.

    Gaza memerlukan bekalan bahan bakar untuk berfungsi dengan baik. Itu termasuk bakeri yang menghasilkan makanan, stesen air untuk membekalkan air bersih dan mesin sokongan di hospital yang sangat diperlukan untuk rawatan pesakit yang kritikal.

    “Walaupun UNRWA ada bekalan bahan api, kami hanya mempunyai bekalan bahan api untuk hari ini,” kata Lazzarini.

    Agensi itu telah ‘menghadkan secara drastik’ penggunaan bahan api, katanya dan biasanya memerlukan 160,000 liter sehari untuk beroperasi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...