GENEVA, 3 NOV – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini melancarkan rayuan bantuan kecemasan meminta AS$1.2 bilion untuk membantu kira-kira 2.7 juta penduduk di Gaza dan Tebing Barat.
“Kos untuk memenuhi keperluan 2.7 juta orang – iaitu keseluruhan penduduk Gaza dan 500,000 orang di Tebing Barat yang diduduki – dianggarkan berjumlah AS$1.2 bilion,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
OCHA pada mulanya meminta bantuan AS$294 juta untuk menyokong hampir 1.3 juta orang dalam satu rayuan pada 12 Oktober.
“Keadaan semakin terdesak sejak itu,” katanya.
OCHA berkata rayuan baharu itu “akan menggariskan keperluan untuk makanan, air, penjagaan kesihatan, tempat tinggal, kebersihan dan keutamaan mendesak lain berikutan pengeboman besar-besaran di Semenanjung Gaza.
“Kami menggesa penderma untuk segera menyediakan sumber bagi respons tersebut,” tambahnya.
“Keupayaan kami untuk meringankan penderitaan penduduk Palestin akan bergantung kepada pembiayaan yang mencukupi; akses yang selamat dan berterusan kepada semua orang yang memerlukan, di mana sahaja mereka berada; aliran bekalan kemanusiaan yang mencukupi dan yang penting bahan api.” – AFP