KUALA LUMPUR, 16 OKT – Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Denmark 2024 selepas menyingkirkan gandingan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, hari ini.
Gandingan Malaysia bermula goyah apabila tewas 19-21, sebelum bangkit untuk menang 21-17 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.
Perlawanan set ketiga menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum pasangan negara di ranking ketujuh dunia itu mengesahkan kemenangan 21-15.
Pearly-Thinaah akan berdepan pemenang perlawanan antara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan dan Julie Macpherson-Ciara Torrance dari Scotland.
Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao apabila terpaksa pulang awal selepas tunduk kepada Jonatan Christie 21-16, 21-14. – Bernama
