SYDNEY, 17 MAC – Warga Australia Blake Johnston hari ini memecah rekod dunia untuk sesi luncur air paling lama, mengelak ubur-ubur untuk meluncur mengharungi ratusan ombak dalam masa 40 jam.
Bekas pemain luncur profesional berusia 40 tahun itu menangis selepas memecah rekod sebelumnya yang dipegang Josh Enslin dari Afrika Selatan dalam masa 30 jam dan 11 minit.
Johnston meluncur kembali ke pantai pada petang diiringi sorakan gemuruh daripada ratusan penyokong yang telah berkumpul di Pantai Cronulla, Sydney untuk menyaksikannya meluncur di laut.
Memakai topi koboi hitam dan berbalut dalam selimut termal, dia dibawa keluar dari pantai di atas bahu kawannya selepas menggantung papan luncurnya.
Johnston mengumpul lebih daripada Aus$200,000 (AS$133,000) untuk dana kesihatan mental, mencatat rekod itu untuk menandakan 10 tahun sejak bapanya membunuh diri.
Dia meluncur meredah lebih daripada 700 ombak untuk mencatat rekod tersebut, mengharungi laut bergelora yang menjadi tempat tinggal kepada kebanyakan spesies ikan yu.
“Saya masih mempunyai tugasan untuk dilakukan. Saya berkata 40 jam, maka saya akan pergi dan melakukannya,” beritahunya kepada wartawan selepas memecah rekod 30 jam sebelumnya.
Johnston akhirnya meluncur lebih daripada 40 jam – dia bermula pada pukul 1 pagi semalam, menggunakan lampu sorot besar untuk menerangi air – tetapi masa rekod rasminya masih tidak diketahui.
Di bawah peraturan percubaan, dia dibenarkan meninggalkan laut sekali-skala supaya dia boleh melegakan matanya dengan ubat titis mata, makan snek dan menyapu losyen pelindung cahaya matahari. – AFP
