ROCAMADOUR, 9 JULAI – Durandal, sebilah pedang mitos yang telah tercacak di dinding batu di perkampungan Rocamadour, Perancis selama 1,300 tahun yang lalu telah tiba-tiba hilang kemungkinan dicuri.
Memetik laporan dari Oddity Central, Durandal sering digambarkan oleh orang Perancis pedang yang setara dengan Excalibur yang lebih terkenal iaitu pedang legenda Raja Arthur.
Legenda mengatakan bahawa malaikat telah mengurniakan Durandal kepada Maharaja Rom Charlemagne, yang seterusnya menyerahkannya dengan penuh kepercayaan kepada kesatria setianya, Roland.
Ia disebut dalam puisi abad ke-11 The Song of Roland, yang mendakwa bahawa kuasa ajaib pedang itu datang daripada dewa-dewa. Roland dikatakan cuba menghancurkan pedang yang dipercayainya itu selepas cedera dalam pertempuran Roncevaux Pass, untuk mengelakkannya daripada jatuh ke tangan Saracen.
Walau bagaimanapun, Durandal tidak dapat dihancurkan, jadi dia sebaliknya melemparkannya ke langit dan pedang itu tercacak di batu gergasi di mana ia dikatakan kekal sejak itu.
Sehinggalah hari ini, tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pedang legenda Durandal itu.
Walaupun dirantai pada batu 32 kaki di atas tanah, pedang legenda itu hilang begitu saja pada suatu hari, kemungkinan besar dicuri.
Ia adalah tamparan hebat bagi kampung itu yang nasibnya dikaitkan dengan pedang legenda. Kini, semua orang berharap pedang itu dapat diambil semula supaya semuanya dapat kembali seperti sedia kala.
“Rocamadour merasakan dirinya telah dirompak, walaupun ia adalah sekadar legenda, takdir kampung kami dan pedang ini terjalin,” kata Datuk Bandar Dominique Lenfant kepada akhbar Perancis La Dépêche.
“Kami akan merindui Durandal. Ia telah menjadi sebahagian daripada Rocamadour selama berabad-abad, dan tidak ada pemandu pelancong yang tidak menunjukkannya apabila terdapat lawatan pelancong,” tambahnya lagi.
Penduduk tempatan kini berharap peninggalan berharga mereka dikembalikan ke tempat yang sepatutnya iaitu di dinding batu yang dilemparkan oleh Roland, sama ada oleh pencuri atau pihak berkuasa tempatan. – Agensi