PARIS, 28 JULAI – Seorang suspek penyeludup dadah Peru telah menembak dan mencederakan seorang pegawai kastam dengan pistolnya sendiri di lapangan terbang antarabangsa utama Paris selepas diarah menjalani pemeriksaan, kata pendakwa raya hari ini.
Suspek tersebut merampas senjata ejen itu dan menembaknya di pinggang di lapangan terbang Charles-de-Gaulle kelmarin, kata pendakwa raya.
Pemeriksaan kastam telah mendapati bahawa suspek membawa tiga kilogram kokain di dalam bagasinya.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 20an telah ditahan dan sedang disiasat atas kesalahan cubaan membunuh secara sengaja terhadap pegawai negara dan melanggar undang-undang dadah, kata pendakwa raya.
Majalah berita, Valeurs Actuelles, yang paling awal melaporkan insiden itu, berkata ejen kastam itu telah dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan selamat.
Insiden itu berlaku ketika ejen tersebut mengiringi wanita muda berkenaan ke tandas.
Seorang ejen lain menghalang cubaan suspek yang berpotensi mengakibatkan kecederaan yang lebih serius dengan memukul lengan suspek berkenaan dan memaksanya menembak lebih rendah daripada yang diingini, tambah majalah itu. – AFP