SEREMBAN, 2 JULAI – Seorang pegawai polis ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kes itu pada 6:30 petang dan pegawai itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah.
“Mayat jenazah telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai tidak mengeluar apa-apa kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis serta menghormati keluarga si mati. – Bernama
