Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pejabat Presiden Korea Selatan pertahan komen tular

    SEOUL, 25 APRIL – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menghadapi masalah hari ini selepas komen yang dibuatnya mengenai bekas kuasa penjajah Jepun yang tidak perlu ‘berlutut’ bagi memperbaiki hubungan menjadi tular di media sosial.

    Yoon, yang sedang dalam lawatan negara enam hari ke Amerika Syarikat, telah menjadikan hubungan dengan Tokyo sebagai landasan penting dalam dasar pentadbirannya ketika dia berusaha untuk meningkatkan kerjasama keselamatan serantau dalam menghadapi ancaman yang semakin meningkat dari Korea Utara.

    Hubungan dua hala telah lama menjadi tegang oleh isu berlarutan yang dikaitkan dengan pemerintahan kolonial Tokyo 1910 hingga 1945 ke atas semenanjung Korea, termasuk perhambaan seksual dan buruh paksa, walaupun Washington telah berulang kali menggesa dua sekutu serantau utamanya itu untuk meningkatkan kerjasama.

    Yoon memberitahu The Washington Post sebelum lawatannya bahawa dia tidak boleh menerima idea bahawa Jepun ‘mesti berlutut kerana sejarah kita 100 tahun lalu’ jika hubungan antara kedua-dua negara ingin diperbaiki.

    Komen itu, termasuk hashtag #mustkneel, dengan cepat menjadi topik trending teratas di media sosial dan Twitter bahasa Korea, dan mendorong liputan menyeluruh dalam media arus perdana.

    Pejabat Yoon hari ini berkata presiden bermaksud ‘dia tidak boleh menerima dakwaan mengatakan memperbaiki hubungan dengan Jepun adalah mustahil melainkan mereka berlutut pada masa timbulnya keperluan pakatan keselamatan’, beritahu pembantu presiden kepada pemberita, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan. – AFP

    Seorang wanita berjalan di hadapan skrin besar di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda