Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Kira-kira 450 pelajar baru Universiti Teknologi Brunei (UTB) menghadiri taklimat mengenai bahaya teknologi dan media sosial yang disampaikan oleh pihak pendakwaan dari Bahagian Keadilan Jenayah di Jabatan Peguam Negara.
Taklimat bertajuk ‘Jenayah Siber dan Risiko serta Bahaya Media Sosial’ itu disampaikan di Dewan Serba Guna UTB.
Taklimat bersempena Minggu Orientasi UTB 2017 itu menyentuh pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan penggunaan media sosial termasuk buli siber, penggodaman, penipuan dalam talian dan hendap siber.
Taklimat turut mendedahkan pelajar mengenai salah satu trend yang sering digunakan masa kini iaitu penyebaran maklumat palsu melalui aplikasi seperti WhatsApp atau Facebook.
“Perkongsian maklumat yang tidak sahih sering dilihat tidak berbahaya tetapi hakikatnya, boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan seseorang yang mana beberapa kes jenayah siber yang telah didakwa di negara ini membabitkan kes penyebaran maklumat palsu,” jelas Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof dan Dayang Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim.

Berfikir terlebih dahulu sebelum menyiarkannya adalah mesej utama yang disampaikan oleh pihak pendakwaan di mana pelajar diingatkan untuk menggunakan forum dalam talian dan media sosial bagi perkara-perkara positif dan berfaedah.
Mana-mana sekolah atau institusi pendidikan yang berminat untuk menjemput pihak pendakwaan untuk memberikan taklimat sedemikian, boleh menulis surat kepada Bahagian Keadilan Jenayah, Jabatan Peguam Negara.