Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 23 JULAI – Selaku rakyat dan penduduk di negara ini haruslah peka betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya semasa kemeriahan pentas perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai menekankan perkara berkenaan semasa ditemui pada kempen kebersihan anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pekan Tutong, kelmarin.
Turut menyertai kempen ialah Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Salim bin Othman.
Kempen berkenaan dijalankan bermula dari kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menuju ke Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong dan sekitarnya termasuklah kawasan pentas diraja.
Lebih 80 orang ahli MPM Pekan Tu-tong terdiri daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai, MPK Petani, MPK Penabai Kuala Tutong, dan MPK Panchor Dulit dan Panchor Papan. Turut menyertai kegiatan sukarelawan berkenaan ialah ahli-ahli Pusat Kegiatan
Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz berkata, kempen berkenaan turut diungkayahkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77 sekali gus turut bertujuan untuk sama-sama bergerak menjadi masyarakat yang aktif dan sihat serta terus mempercantik tanah air dari semasa ke semasa sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim.