KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pelabur asing akan mula memiliki penguasaan lebih besar dalam pasaran bon antara bank bernilai 55 trilion renminbi (RMB) China dalam usaha menjadikan RMB sebagai mata wang antarabangsa.
Dalam satu kenyataan hari ini, HSBC Bank Malaysia Bhd berkata, bank-bank pusat dijangka menyelaras pegangan mereka dalam beberapa tahun akan datang bagi memiliki lebih banyak aset didenominasi RMB, meningkatkan permintaan untuk bon dalam negara.
Pada Oktober 2016, Tabung Mata Wang Antarabangsa menambah RMB kepada sekumpulan mata wang yang membentuk Hak Pengeluaran Khas (SDR), dengan itu memberikannya status mata wang rizab global.
“Hasil yang lebih tinggi, kemasukan dalam SDR dan laluan baharu untuk melabur dalam satu daripada ekonomi paling pesat berkembang di dunia adalah beberapa faktor yang menggalakkan penyertaan lebih besar pelabur asing dalam bon China,” kata HSBC.
HSBC berkata, kadar pasaran bon kerajaan dalam pesisir dimiliki pelabur asing dijangka meningkat daripada dua peratus ketika ini kepada 10 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, bersamaan kira-kira AS$100 bilion (AS$1 = RM4.44) aliran masuk ke dalam pasaran.
“Penyedia indeks pendapatan tetap global utama sudah mula mengkaji kemasukan pasaran bon antara bank China (CIMB) dalam pembukaan pasaran bon ketiga terbesar dunia,” kata HSBC.
“Dengan membuka pasaran bon ketiga terbear dunia kepada institusi kewangan global, China telah mewujudkan peluang untuk mempelbagaikan aktiviti ke dalam penawaran aset dengan hasil lebih tinggi daripada bon pasaran paling maju,” katanya. – Bernama