Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Peruntukan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya sebanyak $583,726,080 bagi perbelanjaan tahun kewangan 2022/2023 diluluskan sebulat suara pada hari keempat permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.
Daripada jumlah berkenaan, sejumlah $426,776,227 disediakan untuk gaji kakitangan sementara $140,591,240 untuk perbelanjaan berulang-ulang serta perbelanjaan kemajuan sebanyak $16,365,560.
“Jumlah peruntukan besar yang disediakan ini jelas menunjukkan betapa pendidikan merupakan satu keutamaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti tinggi, selaras dengan Matlamat 1 bagi Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.”
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika membentangkan peruntukan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya, menambah bahawa melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian dalam mengharungi pandemik COVID-19, pelaburan pendidikan terus membuahkan hasil yang semakin positif khususnya apabila dilihat dari segi keputusan peperiksaan-peperiksaan awam bagi sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan.
Pencapaian-pencapaian yang diraih adalah berkat hasil usaha gigih para pelajar, guru, pemimpin sekolah dan seluruh warga Kementerian Pendidikan khususnya melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik pendidikan rendah dan menengah.

Di samping itu, peningkatan jumlah pembangunan profesional secara berterusan para guru di setiap kluster pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah bukti betapa para guru amat peka terhadap kualiti pengajaran mereka di mana hasilnya telah dapat kita lihat melalui pencapaian prestasi para pelajar yang kian meningkat dalam peperiksaan-peperiksaan awam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Inisiatif-inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan tidaklah hanya tertumpu kepada peringkat rendah dan menengah sahaja bahkan ia juga merentasi peringkat pengajian tinggi.
Semua pencapaian membuktikan bahawa universiti-universiti tempatan juga setaraf dengan universiti-universiti antarabangsa dari segi akademik, penyelidikan, reputasi majikan, nisbah pelajar dan sebagainya di samping ia mencerminkan kualiti pengajian tinggi di negara ini juga setanding dengan negara-negara luar.
Di peringkat pendidikan teknikal pula, Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) sentiasa komited dalam mewujudkan rangkaian kerjasama dan penglibatan dengan pihak berkepentingan khususnya Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Manpower Industry Steering Committee (MISC) dan sektor industri.
Usaha itu adalah bagi memantapkan lagi kualiti program-program latihan yang dijalankan selain bagi memastikan program-program yang ditawarkan adalah sejajar dengan keperluan negara dan industri.
Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa melalui kerjasama rapat dan sokongan dari pihak berkepentingan, kadar kebolehpasaran graduan PB dan IBTE selepas enam bulan daripada konvokesyen telah menunjukkan peningkatan sebanyak 13.8 peratus bagi PB, iaitu 55.5 peratus pada 2019/2020 kepada 69.3 peratus pada 2020/2021, manakala bagi IBTE peningkatan sebanyak 7.1 peratus, iaitu 67.6 peratus pada 2019/2020 kepada 74.7 peratus pada 2020/2021.