Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Seramai 70 orang pelajar terdiri daripada 35 pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan 35 dari Sekolah Menengah Temasek, Singapura telah menyertai program kolaborasi secara dalam talian, hari ini.
Ia merupakan Program Silang-Budaya iaitu pertukaran budaya dengan rakan sebaya dari luar negara bagi pelajar-pelajar Menengah 3 di Sekolah Menengah Temasek, Singapura.
Program itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Kemanusiaan di Sekolah Menengah Temasek, Singapura, Reuben Ong dan Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Dayang Haryani binti Haji Mohammad.
Kemudian ia diikuti dengan sesi kongsi sama pelajar-pelajar dari kedua-dua buah negara.
Melalui program tersebut, pelajar juga dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari serta berkongsi dan mempelajari budaya rakan-rakan sebaya.
