Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Seramai 89 murid dari Sekolah Nusa Laila Puteri (SNLP) hari ini menerima sijil pencapaian mereka dalam Majlis Konvokesyen 2019 Pelajar Tahun 6, Tahun 11 dan Penyampaian Hadiah Cemerlang Peringkat Menengah yang berlangsung di Goldstone Ballroom, Tingkat 7, Hotel Centrepoint, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para pelajar ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsyad.
Turut hadir ialah Pegawai-pegawai Kanan daripada Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, para jemputan khas, presiden dan ahli-ahli PIBG, ketua-ketua Cawangan SNLP, para ibu bapa dan penjaga pelajar, guru-guru dan para pelajar.
Para pelajar yang menerima sijil hari ini terdiri daripada pelajar sekolah cawangan Kiulap, Sungai Buloh, dan Jangsak.
Majlis konvokesyen tersebut juga menyaksikan penyampaian anugerah dan sijil kepada pelajar cemerlang PSR, Tahun 7, Tahun 8, Tahun 9, Tahun 10, Tahun 11, dan Anugerah Pelajar-pelajar Yang Lama Bersekolah di SNLP.
Sekolah tersebut juga memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PSR di mana seramai 14 telah memperoleh keputusan 5A pada tahun ini.
Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan seperti nasyid dan tausyeh daripada pelajar-pelajar sekolah berkenaan.
SNLP telah memberikan perkhidmatan dalam bidang pendidikan selama kira-kira 42 tahun. Dalam masa itu, kemajuan yang disumbangkan berjalan serentak mengikut perancangan melalui berbagai aktiviti-aktiviti dalaman ataupun luar sekolah.

