Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar, guru SM YSHHB dirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seramai 55 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah diraikan hari ini dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang BC GCE O Level tahun 2022 yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah Urusan, Perkhidmatan Korporat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad.

    Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut antara lain mengongsikan bahawa meskipun pelbagai cabaran diharungi pada tahun 2022, para pelajar telah menunjukkan keputusan yang memuaskan.

    Menurutnya lagi, keputusan peperiksaan O Level Tahun 2022 menunjukkan seramai 55 daripada 78 pelajar atau 70.5 peratus mendapat sekurang-kurangnya lima kredit manakala 36 daripada keseluruhan pelajar atau 46 peratus mendapat keputusan sekurang-kurangnya lapan O Level.

    Pada kesempatan yang sama beliau juga turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada para tenaga pengajar di sekolah berkenaan atas usaha berterusan mereka dalam menyediakan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan di tahap yang tinggi.

    Para pelajar, guru dan tetamu kehormat bergambar ramai semasa majlis tersebut.
    Tetamu kehormat majlis semasa menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang sekolah berkenaan yang diraikan pada majlis tersebut.
    Salah seorang guru yang turut diraikan pada majlis berkenaan.

    Majlis pagi tadi itu seterusnya diikuti dengan penyampaian ucapan daripada tetamu kehormat majlis yang turut berbangga melihat kemajuan para pelajar di negara ini khususnya dalam bidang pendidikan dengan keputusan yang memberangsangkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini termasuklah di SM YSHHB.

    Awang Abdullah @ Dollah dalam ucapannya turut menyentuh mengenai peranan guru yang dilihat lebih kreatif, dinamik dan adaptable dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran khususnya di sekolah berkenaan yang menggunakan aplikasi Microsoft Teams dan Onenote sebagai salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran.

    Majlis tersebut juga turut diisikan dengan ucapan khas daripada pelajar yang mendapat markah cemerlang dalam BC GCE O Level 2022 disusuli dengan tayangan klip video dan seterusnya kemuncak acara majlis iaitu penyampaian hadiah kepada para pelajar yang diraikan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Para tenaga pengajar di sekolah berkenaan turut diraikan dengan majlis penyampaian sijil penghargaan bagi guru-guru Tahun 11 SM YSHHB yang juga disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda