Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Pelajar berbakat dalam bidang kulinari, Dayang Nur Hayani Afifah binti Mohammad iaitu seorang pelajar Tahap 2 Diploma dalam Seni Kulinari, Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), akan mewakili LCB dan Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan berprestij, Young Chef Olympiad (YCO) 2025 yang berlangusng di India bermula 2 hingga 7 Februari.
Turut mengiringi Dayang Nur Hayani Afifah dalam pertandingan berkenaan ialah dua mentor iaitu Awang Alif Zulfitri bin Awang Haji Hassan dan Dayang Norfadhilah binti Mohd Yahya.
Penyertaan Dayang Nur Hayani Afifah bersama-sama dengan mentornya telah ditaja sepenuhnya oleh LCB.
Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Pengetua LCB, Dr Sivarajah Subramaniam merakamkan perasaan gembira dengan LCB mewakili Negara Brunei Darussalam dalam YCO 2025 yang berprestij itu.
Beliau menyatakan bahawa ia memberikan peluang kepada pelajar mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa, memperoleh pendedahan yang amat berharga serta mengetengahkan standard tinggi pendidikan kulinari mereka.
Ia merupakan bukti komitmen LCB kepada kecemerlangan dan inovasi dalam latihan hospitaliti, tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua Seni Kulinari, LCB, Simon Lynch menyatakan YCO merupakan lebih daripada hanya sebuah pertandingan di mana ia merupakan sebuah platform bagi bakal-bakal chef untuk menguji sempadan mereka, menerima pakai teknik-teknik kulinari global dan berinteraksi dengan profesional berfikiran serupa.
Beliau menyatakan bahawa Dayang Nur Hayani Afifah telah membuat persiapan dengan tekun dan yakin beliau berupaya untuk mewakili Brunei dan LCB dengan cemerlang.
YCO terkenal sebagai olimpiad kulinari terunggul di dunia di mana ia mengumpulkan bakat-bakat kulinari muda dari lebih 50 buah negara yang akan dinilai oleh seramai 25 orang panel hakim antarabangsa.
Platform global berkenaan menawarkan bakal-bakal chef peluang untuk mengetengahkan kemahiran, bertukar-tukar amalan kebudayaan kulinari dan memupuk kemesraan antarabangsa.
Negara Brunei Darussalam telah ditepatkan dalam Kumpulan A dengan pusingan pertama pertandingan dijadualkan diadakan di Goa. Kumpulan berkenaan merangkumi peserta dari India, England, Negara Brunei Darussalam, Ethiopia, Armenia, Kenya, Ireland, Botswana, Oman dan Amerika Syarikat.
Daripada pusingan awal berkenaan, peserta-peserta yang layak akan beraksi di acara kemuncak di Kolkata di mana mereka beraksi dalam Dr Suborno Bose Challenge dan Plate Trophy Final.
YCO dianjurkan oleh International Institute of Hotel Management (IIHM) dan International Hospitality Council (IHC) London, di mana acara global berprestij itu bermatlamat untuk mengetengahkan bakat-bakat kulinari muda, memupuk kolaborasi antarabangsa dan mempromosikan kemampanan dalam industri hospitaliti di bawah tema, 2025-Save the World! Sustainabilty + Ingenuity.
Penyertaan LCB menggariskan komitmennya kepada menyediakan pelajar-pelajar dengan pendedahan antarabangsa dan peluang untuk cemerlang dalam seni kulinari.
Peserta terpilih akan bertanding dengan rakan-rakan sebaya dari seluruh dunia, mempamerkan kecekapan kulinari dan kreativiti mereka. Mentor yang mengiringi peserta akan memberikan sokongan dan bimbingan, memastikan peserta bersiap sedia menghadapi cabaran yang datang.