LONDON, 23 DIS – Para pelajar mempunyai peranan sebagai peneraju negara dan ejen perubahan yang akan merealisasikan aspirasi negara di masa hadapan.
Dengan cabaran yang semakin kompleks, terbit daripada isu-isu ekonomi, sosial, politik serta teknologi, pendedahan para pelajar kepada keadaan, budaya dan ilmu yang berbeza di luar negara boleh mengembangkan minda dan kualiti kemahiran.
Oleh itu, pelajar perlu mengambil peluang ini untuk berusaha menjadi pemimpin yang bersemangat dan berilmu tinggi, yang mampu bersaing dengan apa jua tantangan di hadapan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa berangkat menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom (UK) dan Ireland yang berlangsung di Royal Lancaster Hotel, London.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan ahli-ahli kerabat diraja.
Baginda juga bertitah mengenai penggunaan teknologi secara bijak, dan menggalakkan para pelajar untuk menjadi warga digital atau Digital Citizen yang bertanggungjawab dan beretika agar selamat dan berjaya.
Menyentuh mengenai kesihatan mental, Baginda menyeru kepada pelajar semua agar mendapatkan bantuan jika diperlukan, dan untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai serta ajaran agama. Menjaga kesihatan fizikal dan mental serta sering menghubungi keluarga juga diutamakan, selain menjauhi diri daripada aktiviti yang tidak bermoral dalam memelihara masa depan masing-masing.
Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Ireland, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan isteri Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Haji Kahar; dan Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Ireland, Awang Raiyan Muqri bin Dr Saiful Rizal, serta Naib Yang Di-Pertua Persatuan, Dayang Nur Zaidati Qadrina binti Perdi.
Baginda berdua kemudiannya telah menandatangani lembaran kenangan dan berangkat bagi Majlis Santap bersama perwakilan penuntut. Sebelum berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penuntut Negara Brunei Darussalam, Baginda berdua berangkat menghadiri sesi bergambar ramai bersama Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Ireland serta wakil penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Ireland.
Sebelum itu, majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Muhammad Nabil Syami bin Norman dari University of the Highlands and Islands, Scotland, manakala intisarinya dibacakan oleh Awang Muhammad Meerza Helmi bin Uzapuspa dari Imperial College London. Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Dalam ucapan sembah alu-aluan Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Ireland menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas peluang, kemudahan, sokongan dan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan Baginda kepada para penuntut yang mengikuti pengajian di UK dan Ireland. Yang Di-Pertua juga menekankan kesungguhan dan dedikasi para pelajar dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai Wawasan 2035.
Antara kenangan manis, bagi kira-kira 1,300 orang rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang hadir dalam majlis tersebut ialah kesempatan menghadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Pada majlis itu juga, perwakilan pelajar menyembahkan pesambah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang telah direka bentuk oleh seorang pelajar Brunei berupa beberapa helai tali leher, yang diperbuat daripada sulaman corak kain tenunan Brunei dan scottish kilt sebagai simbol jalinan akrab antara Negara Brunei Darussalam dan UK dan Ireland dan juga senaskhah Buku Ristaan Raja Pragmatik, Belia Dinamik. Manakala, pesambah Sentuhan Warisan Sejagat disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, yang telah direka bentuk oleh dua orang pelajar Brunei dan merupakan sebentuk pin baju dan satu beg tangan bermotifkan warisan budaya Negara Brunei Darussalam dan UK dengan hiasan reka bentuk moden.
Pereka tali leher ialah Awang Wan Muhammad Hafiz bin Wan Habib dari University of South Wales, manakala pereka pin baju dan beg tangan ialah Awang Muhammad Fadzli bin Adiputra dari University College London dan Awang Mohammad Safwan ‘Arif bin Suhara Fadzali dari Queen Mary University, London.
Majlis Bersama Rakyat turut diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk Hikmah Hijrah yang disembahkan oleh para penuntut Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Ireland.