Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Syahmi Hassan & Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Seramai 200 orang pelajar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) daripada peringkat taman asuhan kanak-kanak (TASKA), sekolah rendah dan sekolah menengah terlibat dalam persembahan pentas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri edisi ke-19 anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Persembahan pada majlis sambutan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu menjadi lebih rancak dan berwarna-warni dengan bantuan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Dalam temu bual bersama Media Permata, salah seorang ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab bagi persembahan gulintangan, Awang Muhammad Zulfadhli bin
Harun berkata bahawa menjadi satu penghormatan dan detik yang membanggakan ketika melihat kejayaan dan wajah ceria para pelajar apabila mereka membuat persembahan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja.
Awang Muhammad Zulfadhli menjelaskan mereka telah membuat persiapan untuk persembahan itu sebulan sebelum bulan Ramadan.
“Dalam membentuk pasukan gulintangan, kami mengadakan uji bakat dan menjemput pelajar-pelajar yang berminat bermain alat muzik tradisional.
“Apa yang mengejutkan ialah ramai pelajar yang hadir untuk uji bakat itu dan memilih instrumen yang mereka mahu mainkan atau cuba,” kongsi beliau.
Menurut beliau lagi, mereka menjalankan uji bakat untuk mencari mereka yang mempunyai bakat terpendam atau berpotensi dalam bermain alat muzik tradisional iaitu gulintangan.
“Kami agak terkejut apabila melihat ramai pelajar datang ke sesi uji bakat dan mempamerkan potensi mereka dalam bermain alat muzik,” jelas beliau.
Katanya lagi, “Alat gulintangan bukan sahaja terdiri daripada gulintangan itu sendiri, malah termasuk gendang dan gong serta alat muzik moden yang lain. Untuk instrumen moden, kami memberi pelajar kord dan nota untuk mereka cuba. Semasa uji bakat, kami ingin melihat sejauh mana mereka boleh membaca nota dan sejauh mana mereka boleh bermain mengikut kord yang diberikan.
“Alhamdulillah, pelajar-pelajar ini sangat berbakat dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh, namun kami hanya boleh memilih beberapa daripada mereka untuk membentuk kumpulan gulintangan,” tambahnya.
Mengenai proses pemilihan, Awang Muhammad Zulfadhli berkata bahawa ia berdasarkan uji bakat kerana mereka perlu memilih instrumen mana yang berpotensi untuk dimainkan semasa persembahan.
Pada masa yang sama, selaku jurulatih mereka, Awang Muhammad Zulfadhli memberi tunjuk ajar khususnya mengenai pergerakan tangan mereka agar ia menghasilkan irama yang menenangkan dan seimbang.
“Alhamdulillah, pelajar-pelajar ini sangat berminat dan bersemangat untuk belajar,” katanya lagi.
Salah satu teknik yang beliau gunakan untuk membimbing mereka ialah dengan aktiviti bertepuk tangan supaya murid-murid dapat mengikut tempo.
“Apabila mereka mendapat tempo, kami kemudian memainkan muzik dengan saya sendiri sebagai konduktor muzik. Selain itu, saya juga membimbing mereka dengan menunjukkan beberapa langkah dan kaedah bermain muzik, dan mereka mengikut langkah-langkah tersebut dengan mudah,” jelas Awang Muhammad Zulfadhli.
Selain persembahan gulintangan, sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan pentas yang disampaikan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Arab, Inggeris dan Mandarin oleh kanak-kanak TASKA YSHHB, di mana ucapan yang disampaikan merakamkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kepimpinan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia.
Ucapan itu turut mengongsikan dan mengiktiraf kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah mendekatkan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sementara itu, pelajar-pelajar sekolah menengah menarik perhatian dengan persembahan koir bertajuk Abode of Peace, yang menampilkan tujuh kumpulan etnik di negara ini diikuti dengan rampaian lagu kanak-kanak dan tarian tradisional.