Pelakon veteran Malaysia, Mano Maniam ditemukan sudah tidak bernyawa seorang diri di dalam rumahnya di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun.
Menurut mStar, khabar duka itu disahkan oleh adiknya iaitu Madi Maniam namun punca kematian masih belum dikenal pasti.
“Ia berlaku secara tiba-tiba. Mungkin akibat faktor usia, serangan jantung atau angin ahmar.
“Kami masih tidak pasti,” katanya memetik FMT.

Menurut Madi, mendiang kerap menghubungi keluarganya serta anak saudaranya walaupun tinggal bersendirian.
“Dia menjalani kehidupan penuh bermakna walaupun sangat menghargai kebebasannya, dia sentiasa berhubung dengan kami, keluarga, anak saudara dan cucu saudara,” tambahnya.
Sementara itu, Madi memberitahu pihak keluarga masih lagi menguruskan jenazah mendiang.
Mano sebelum ini terkenal dengan watak Uncle Chan dalam sitkom Kopitiam yang bersiaran di TV3 antara 1999 hingga 2003.
Mendiang juga aktif dalam berlakon filem seperti Mat Gelap, Hikayat Merong Mahawangsa, Sini Ada Hantu, Kolumpo dan Rentap.
Malah mendiang pernah membina nama menerusi filem terbitan Hollywood iaitu Anna and the King bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fat pada 1999.
Selain itu, mendiang juga merupakan pengarah, jurulatih drama, pelakon suara latar serta penulis. – Agensi