Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pelancaran Kempen Semarak Kebangsaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Dalam menanamkan sikap supaya sentiasa menyemarakkan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan bendera negara kepada masyarakat, Jabatan Penerangan mengendalikan Kempen Semarak Kebangsaan, 2023 di keempat-empat daerah, hari ini.

    Kempen yang diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-39 itu telah dilancarkan oleh Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin di kawasan letak kereta Jabatan Penerangan.

    Terdahulu, Awang Ajman telah menyempurnakan penyampaian bendera negara kepada ketua-ketua konvoi yang terdiri daripada Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastera Sarini binti Haji Julaini sebagai Ketua Konvoi 1 dan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Hamsah Datu Kerma Haji Jaya sebagai Ketua Konvoi 2.

    Kempen itu dilaksanakan dengan menggunakan format konvoi ke mukim-mukim yang dipilih di setiap daerah di mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Konvoi 1 menuju ke Daerah Brunei dan Muara dan Temburong serta Konvoi 2 menuju ke Daerah Tutong dan Belait.

    Dari Ibu Pejabat Jabatan Penerangan, Konvoi 1 bergerak menuju Mukim Kota Batu bagi penyerahan bendera negara ke rumah-rumah yang terpilih di mukim berkenaan di mana konvoi turut disertai oleh Penghulu Mukim Kota Batu dan Ketua Kampung Pulau Baru-Baru, Kampung Sungai Bunga dan Tanjung Kindana, Awang Zaini bin Haji Salleh.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan dan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Kota Batu.

    Destinasi seterusnya bagi Konvoi 1 ialah Mukim Labu, Daerah Temburong di mana ketibaan konvoi di Balai Raya Labu Estate dialu-alukan oleh ahli MMN selaku Pemangku Penghulu Zon 1 dan Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir serta ketua kampung di mukim berkenaan.

    Sementara itu, Konvoi 2 pula bergerak ke Mukim Lamunin di mana ketibaan konvoi di Balai Raya Gong 3, Lamunin dialu-alukan oleh Penghulu Mukim Lamunin, Awang Mohd Jaafar bin Haji Tinggal yang menyertai rombongan menyampaikan bendera negara ke rumah-rumah yang terpilih di Mukim Lamunin.

    Pada sebelah petang, rombongan Konvoi 2 bertolak ke Mukim Seria iaitu mukim yang dipilih di Daerah Belait dengan ketibaan konvoi berkenaan di Dewan Pejabat Daerah Belait, Seria dialu-alukan oleh Pemangku Penghulu Mukim Seria dan Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim serta ketua-ketua kampung di mukim berkenaan.

    Awang Ajman menyempurnakan pelepasan konvoi yang bergerak ke mukim-mukim terpilih di Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Temburong.
    Awang Ajman bergambar ramai bersama ahli rombongan Jabatan Penerangan yang menyertai Kempen Semarak Kebangsaan, kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...