SYDNEY, 10 JULAI – Polis Australia kelmarin mengeluarkan rayuan awam bagi membantu mengesan seorang wanita warga Jerman berusia 26 tahun yang dilaporkan hilang lebih seminggu ketika mengembara di wilayah Australia Barat.
Carolina Wilga kali terakhir dilihat pada 29 Jun apabila dia tiba di sebuah kedai runcit di komuniti pertanian kecil Beacon, yang terletak di timur laut Perth dengan populasi sekitar 123 orang, menaiki sebuah van Mitsubishi.
“Carolina beredar dari kawasan itu kira-kira lima minit kemudian dan sejak itu tidak lagi dilihat atau dihubungi,” kata Detektif Sarjan Kanan, Skuad Pembunuhan, Katharine Venn kepada pemberita.
Menurut Venn, Wilga merancang untuk meneruskan perjalanan ke kawasan terpencil di Australia Barat dan seterusnya ke pantai timur Australia, menjadikan kawasan pencarian sangat luas.
“Pada masa ini siasatan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Tiada petunjuk menunjukkan penglibatan pihak ketiga dalam kehilangan ini, namun kami terbuka kepada sebarang maklumat atau petunjuk yang boleh membantu siasatan,” tambah beliau.
Pihak berkuasa turut mengedarkan gambar serta rakaman video Wilga kepada orang ramai.
Difahamkan, Wilga telah dua tahun mengembara di Australia dan pernah bekerja di tapak perlombongan di Australia Barat. – AFP
