Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Institusi perubatan swasta khususnya Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) ketika ini berusaha untuk menyediakan strategi-strategi pemasaran lebih holistik untuk mempromosi perkhidmatan perubatan di peringkat antarabangsa. Di samping itu, ia juga mengenal pasti sasaran yang bersesuaian mengikut pasaran terkini ke arah mewujudkan ekosistem pelancongan perubatan yang kukuh dan berdaya saing.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar turut menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan memang sudah lama mengenal pasti pelancongan perubatan (medical tourism) sebagai salah satu industri yang boleh atau berpotensi untuk menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara itu pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), petang ini, semasa ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim membangkitkan soalan pelancongan perubatan.
Walaupun, kebanyakan negara lain pelancongan perubatan banyak dilaksanakan melalui sektor perubatan swasta, pihak Kementerian Kesihatan turut mengalu-alukan pelaburan dalam sektor kesihatan bukan sahaja melalui sektor perubatan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam negara malah juga terbuka dalam mempelopori pelaburan daripada pihak-pihak perubatan swasta dari luar negara.
Dengan pelaburan sedemikian, ia akan dapat menjadikan Brunei sebagai hab serantau dalam bidang perubatan tertentu, sejajar dengan perkembangan perkhidmatan, infrastruktur dan teknologi canggih dalam dunia perubatan.


Selain itu, antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk menyertai pelbagai pameran-pameran antarabangsa bagi menaikkan jenama JPMC dan PJSC dengan mengetengahkan berbagai bidang-bidang perubatan yang merupakan antara yang terbaik di JPMC seperti InVitro Fertilisation, Orthopedics Joint Replacement, Sports Medicine dan sebagainya.
“Dalam pada itu juga, Gleneagles JPMC juga adalah salah satu pusat jantung swasta yang diiktiraf dan menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan jantung dan kardiovaskular yang setanding dengan institusi terkenal di rantau ini.
“Tambahan lagi PJSC melalui Pusat Kanser Brunei, Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre, Maxillofacial, Facial Plastic and Reconstructive Surgery Centre juga mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perkembangan pelancongan perubatan,” ujarnya.
Di hujung penjelasannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kerjasama dengan pihak-pihak agensi pelancongan juga akan diterokai bagi memperkenalkan perkhidmatan yang diberikan oleh JPMC, PJSC ke dalam pakej-pakej percutian dan mempromosikan pusat-pusat perubatan itu sebagai satu pilihan pelancong untuk menjalani rawatan perubatan selain di hospital lain-lain di rantau ini.
“Dan kerjasama melalui kementerian-kementerian lain juga akan memudahkan lagi proses untuk menarik pelancongan perubatan di negara ini,” tambahnya.

