Tuesday, December 24, 2024
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelayak seronok dipancing

    Ikan pelayak atau Lobotes Surinamenisis dalam nama saintifiknya adalah ikan marin daripada keluarga Lobotidae dan genus Lobotes yang boleh ditemui kawasan tropika.

    Ikan yang boleh membesar sehingga 90cm panjang dan 18kg berat ini juga dikenali sebagai ikan kakap hitam atau kakap laut di negara jiran, Indonesia; ikan Pecah Periuk, Puyu Laut, Sepat Karang, Ikan Tidur, Kakap Batu, Kuku Laut, Lundung, Patipok, Sekusong dan Siakap Hitam di Malaysia; Atlantic Tripletail, Tripletail, Black Grunt, Black Perch, Bouy Fish, Dusky Perch dan Flasher dalam Bahasa Inggeris.

    Ikan pelagik yang bersifat semimigratorial ini menjadikan kawasan pesisir pantai laut tropika dan subtropika dan muara sebagai habitatnya.

    Ia boleh ditemui sendirian atau dalam sejumlah kawanan.

    Ikan pelayak yang bersaiz besar selalunya berada berhampiran dengan permukaan laut terbuka yang dalam terutamanya berdekatan dengan objek-objek yang terapung.

    Semasa berusia juvenil, ikan pelayak selalunya berwarna coklat, bintik kekuningan dan hitam. – Gambar oleh Pefferkornelius

    Manakala ikan bersaiz juvenil pula selalunya ditemui di kawasan karang, kapal karam dan tiang-tiang jeti.

    Semasa berusia juvenil, ikan pelayak selalunya berwarna coklat, bintik kekuningan dan hitam. Setelah dewasa ikan ini berwarna hitam legam, coklat gelap hingga coklat kemerahan dengan sedikit kelabu.

    Ikan pelayak merupakan pemangsa yang bersifat oportunistik. Ia menjadikan ikan-ikan kecil termasuk ketam, udang dan krustasea lain sebagai diet utamanya.

    Umpan terbaik menjerat ikan pelayak adalah dengan menggunakan umpan ikan tamban atau basong-basong hidup atau mati, sama ada dicangkuk seekor atau dipotong setengah bergantung pada saiz umpan berkenaan. Selain itu umpan udang hidup juga antara pilihan terbaik untuk digunakan.

    Apabila mengena pancing, ikan ini mampu memberikan tentangan yang menyeronokkan kepada pemancing dengan melompat-lompat ke luar air beberapa kali seakan-akan ikan selongsong. Kadang-kadang pula ia akan membuat pecutan kuat di awal pertarungan.

    Penggunaan mata kail circle hook bersaiz 1/0 yang diikat dengan perambut 30lb dan tali utama 15lb sudah memadai untuk menumbangkan ikan pelayak pelbagai saiz.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda