Gambar serahan JKED
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Pelbagai barang rampasan kastam seperti rokok, minuman keras termasuk kawah dan alat kawalan jauh telah dilupuskan menggunakan jentera berat sekitar bulan Jun dan Julai lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini, aktiviti pelupusan barang-barang rampasan kastam, turut disertai agensi-agensi yang berkaitan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).
Pada bulan Jun, sebanyak 3,839 karton rokok pelbagai jenis, 10 paket rokok, 28 karton minuman keras, 512 botol minuman keras pelbagai jenis dan 1,036 tin minuman keras pelbagai jenis telah dilupuskan.
Manakala, pada bulan Julai, aktiviti pelupusan dilaksanakan bagi barang-barang rampasan iaitu kawah, alat kawalan jauh dan receiver jenama Njoi yang dibawa masuk melalui Pos Kawalan Kuala Lurah.
Aktiviti pelupusan juga dilaksanakan bagi barang-barang tegahan kastam seperti sekotak Shisha, tiga set aksesori Shisha, dua karton rokok, 87 paket rokok pelbagai jenis, dua botol minuman keras pelbagai jenis serta dua bilah pisau jenama Rambo hasil daripada rampasan barang-barang yang dibawa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas (LTAB).
Selain itu, 233 karton rokok pelbagai jenis dan 671 paket rokok, 801 botol minuman keras pelbagai jenis, 1,219 tin minuman keras pelbagai jenis turut dihapuskan.
Mana-mana barang rampasan atau tahanan yang melebihi tempoh 30 hari dan barang rampasan di bawah perintah mahkamah adalah kuasa pengawal Kastam dan Eksais Diraja akan dilupuskan mengikut Bab 131 dan Bab 132, Perintah Kastam 2006.
Sementara itu, JKED melalui Baha-gian Penguatkuasaan Undang-undang telah menjalankan penahanan dan rampasan barang-barang tegahan kastam semasa lima gerakan operasi di kawasan Jalan Pandan 5 Daerah Belait, kawasan Bandar Seri Begawan, kawasan Jalan Sumbiling, kawasan Kampung Pengkalan Sibabau dan kawasan letak kereta, Seria, baru-baru ini.
Hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada 27 Julai di kawasan Jalan Pandan 5 Daerah Belait, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang berumur 20 tahun kerana memiliki 17 karton dan sepaket rokok pelbagai jenis serta 92 Vape Pod pelbagai jenis.
Hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada 28 Julai di kawasan Bandar Seri Begawan, JKED telah berjaya menahan dua lelaki tempatan yang berumur 68 dan 69 tahun kerana memiliki 30 paket rokok pelbagai jenis.
Hasil gerakan operasi ketiga yang dijalankan pada 29 Julai di kawasan Jalan Sumbiling dan seterusnya pemeriksaan dilaratkan di kawasan Batu Bersurat, JKED telah berjaya menahan seorang warga asing yang berumur 33 tahun kerana memiliki 38 botol minuman keras pelbagai jenis, 13 batang rokok, satu unit Vape Pod, empat perisa jus pelbagai jenis dan aksesori Vape.
Hasil gerakan operasi keempat yang dijalankan pada 1 Ogos di kawasan Kampung Pengkalan Sibabau, JKED telah berjaya merampas 1,920 tin minuman keras pelbagai jenis serta dua karton rokok.
Turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk pemunggahan barang-barang tegahan.
Seterusnya pada hari yang sama bagi hasil gerakan operasi yang kelima yang dijalankan di kawasan letak kereta orang awam dan pemeriksaan dilaratkan di kawasan Jalan Lorong 3 Seria, JKED berjaya menahan dua penduduk tetap yang berumur 16 dan 21 tahun kerana memiliki 15 karton dan 33 batang rokok pelbagai jenis.
Kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.