Tuesday, April 22, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai juadah enak di medan selera terbuka

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ingin mencari pelbagai juadah yang enak setelah penat pulang bekerja atau mengisi waktu bersantai bersama insan-insan tersayang? Usah runsing untuk mencari di mana-mana.

    Oleh itu, segmen Makan-Makan kali ini, apa kata kita pergi menerokai ke salah sebuah medan selera terbuka yang memiliki pelbagai petak gerai jualan makanan dan minuman yang letaknya di kawasan Kampung Beribi, iaitu selepas flyover Beribi menuju ke Kampung Jangsak.

    Dikenali dengan nama Beribi Eats, variasi pilihan cita rasa makanan yang menarik terdiri dari makanan ringan sehingga ke hidangan berat. Semuanya pastinya menawan hati para penggemar makanan jalanan (street food), lebih-lebih lagi dengan tawaran harga yang amat berpatutan.

    Salah satu kudapan (snek) yang kebiasaannya menjadi kegemaran ramai untuk dinikmati sewaktu minum petang ialah beraneka jenis cucur dan makanan goreng yang lain seperti cucur pisang, cucur keladi, cucur udang, lekor dan popia daging kentang. Semuanya boleh diperoleh di petak gerai bagi syarikat The Cucur Factory dengan anggaran harga kurang $2 bagi jumlah tertentu yang ditetapkannya.

    Pelbagai hidangan menarik

    Kelazatan Chicken Burger Special yang ‘juicy’ dengan isi ketebalan ayam yang disaluti dengan keju juga merupakan salah satu hidangan istimewa yang turut diketengahkan oleh gerai Brolong Homemade Burger.

    Beraneka jenis makanan goreng yang lain seperti cucur pisang, cucur keladi, cucur udang, lekor dan popia daging kentang turut ditawarkan di medan selera terbuka di Kampung Beribi.
    Mi Goreng Daging dan Soto Kawin Daging antara hidangan live cook berasaskan mi istimewa yang turut ditawarkan di Beribi Eats.
    Kelazatan Chicken Burger Special yang ‘juicy’ dengan isi ayam yang disaluti keju juga ditawarkan di medan selera terbuka.

    Selain itu, Egg Burger, Beef Burger dan Lamb Burger juga antara pilihan menu yang turut ditawarkan oleh gerai berkenaan untuk para penggemar burger. Dengan pembelian sebiji burger anggaran $5 ke bawah mengikut pilihan tertentu sama ada burger biasa atau istimewa.

    Sementara bagi para penggemar hidangan mi yang amat menyelerakan, bolehlah mencuba salah satu menu istimewa yang disediakan oleh Pondok Rezqi Almie iaitu Mi Goreng Daging yang sememangnya amat enak dengan keseimbangan rasa secukupnya dilengkapi hirisan daging dan cili padi yang menambahkan lagi keenakannya.

    Selain itu, Mi Basah Kway Teow dan Soto Kawin Ayam; Daging atau Hati Buyah juga merupakan antara hidangan menu yang disediakan oleh pondok yang menawarkan hidangan Mi secara Live Cook berkenaan yang mana semuanya mampu dibeli dengan harga berpatutan harga anggaran $5 ke bawah mengikut pilihan masakan mi yang telah ditetapkan.

    Oleh itu, bagi anda yang ingin merasakan pengalaman minum petang atau bersantai, berkunjunglah ke Beribi Eats bersama ahli keluarga atau sahabat handai dengan penuh kegembiraan.

    Nikmatilah suasana keindahan medan selera terbuka ini bermula pada waktu petang sehingga hampir 12 malam.

    Ikan selar bakar

    Bahan-bahan

    -3 ekor ikan selar

    -Sedikit minyak masak

    -Daun pisang (sekiranya ada)

    -5 tangkai cili padi

    -1 batang serai

    -2 ulas bawang merah

    -1 sudu kecil kunyit

    -1 sudu kecil garam

    Cara menyediakan

    – Bersih dan kelar ikan, kemudian basuh dan toskan.

    – Gaulkan bahan yang dikisar iaitu 5 tangkai cili padi, bawang merah, kunyit dan garam pada ikan dan perapkan selama 20 minit.

    – Sapukan sedikit minyak pada permukaan ikan. Letakkan ikan pada pemanggang.

    – Bakar hingga ikan itu masak sambil titiskan minyak pada ikan.

    – Angkat ikan dan dihidangkan bersama air asam.

    Daging bakar ala Thai

    Bahan-bahan

    -Daging 1/4 kilo

    -Bawang Putih 3 ulas

    -Bawang Merah 1 ulas

    -Kicap Manis 2 sudu Besar

    -Sos Tiram 1 sudu Besar

    -Garam 1 sudu Kecil

    -Ajinomoto

    -Serai 1 Batang

    Cara menyediakan

    – Daging dipotong nipis setebal daging burger.

    – Bawang putih, bawah merah dan serai, garam dan aji dikisar lumat.

    – Campurkan kicap  manis dan sos Tiram.

    – Akhirnya semua bahan digaul rata.

    – Masukkan daging dan digaul rata.

    – Masukkan dalam bekas bertutup.

    – Perapkan dalam peti sejuk selama tiga jam.

    Bahan-bahan untuk sos cicah:

    -Cili padi/cabai melaka 5 biji

    -Cili Merah 1biji

    -Belacan

    -Bawang putih 2 ulas

    -Bawang Besar 1 biji bersaiz kecil

    -Gula 1/2 sudu kecil

    -Garam sedikit

    -Ajinomoto sedikit

    -Limau Nipis 1biji

    -Asam Jawa 3 biji – diambil airnya sahaja

    Cara menyediakan

    – Bawang putih, bawang besar dan belacan dibakar dalam Microwave selama 4 minit dengan kadar sederhana panas.

    – Masukkan kesemua bahan tadi ke dalam pengisar dan kisar lumat.

    – Setelah siap, masukkan ke dalam bekas tertutup.

    – Cicah boleh digunakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda