Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pelihara nikmat kemerdekaan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Harga kemerdekaan sesebuah negara amat sukar dinilai kerana ia bukan benda jumud untuk dihitung dengan angka tetapi ia adalah landasan bagi kita memperolehi sesuatu yang lebih baik dan menikmati apa yang belum pernah dinikmati sebelum ini.

    Sehubungan itu, kemerdekaan wajar dipelihara untuk mewarnai kehidupan berbangsa dan bernegara dengan cara menunaikan kewajipan secara telus dan sempurna, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi lebih untuk semua.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam titah perutusan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 tahun 2023 yang disiarkan secara langsung hari ini.

    “Sekarang adalah menjadi kewajipan kita semua untuk matlamat wawasan negara terlaksana. Kita tidak dapat berlengah-lengah lagi atau goyang kaki kerana masa cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk kita merealisasikannya.

    “Kerana itu, kerajaan perlu memuktamadkan manpower dan social blueprint dalam masa terdekat sebagai arah tuju bagi setiap perancangan dan tindakan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan,” tekan Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa mengurniakan titah perutusan Hari Kebangsaan ke-39. – Gambar oleh Infofoto

    Baginda turut melahirkan harapan rangka kerja-rangka kerja termasuk rangka kerja ekonomi itu akan menjadi bahan rujukan orang ramai terutama sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka strategi dan pelan tindakan masing-masing.

    Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai peneraju Brunei Darussalam Economic Blueprint sudahpun siap merangka peta-peta jalan industri bagi sektor industri pemakanan, industri hiliran minyak dan gas dan industri perkhidmatan maritim.

    Manakala peta-peta laluan berkaitan industri teknologi maklumat dan info-komunikasi pula sedang giat dalam penelitian-penelitian dan penggubalan, tekan Baginda.

    “Peta-peta jalan dalam sektor industri-industri utama ini bertujuan untuk menambahbaikkan ekosistem dan juga untuk industri tempatan meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara,” titah Baginda.

    Ketika menyentuh mengenai dukungan kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Baginda Sultan mengongsi bahawa kerajaannya juga sedang merangka dasar PMKS bagi membantu meningkatkan produktiviti.

    Dalam titah mengenai kemajuan negara pula, Baginda menegaskan bahawa kemajuan yang perlu dicapai adalah membina prasarana dan sistem serta sumber tenaga manusia yang membawa impak positif kepada rakyat dan penduduk di negara ini dan bukannya bertumpu kepada membina bangunan untuk bermegah-megah.

    “Kita mahu melahirkan rakyat yang progresif, berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada kerajaan,” tekan Baginda.

    Untuk itu, Baginda menyeru bidang pendidikan tidak diabaikan kerana negara memerlukan rakyat berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran.

    “Maka untuk itu, Beta melihat bahawa kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) adalah perlu diperluaskan, dengan mengambil kira, betapa pentingnya kemahiran itu sebagai pemangkin pembangunan.

    Baginda juga ingin melihat skim pendidikan biasa dan agama dapat disatukan di bawah pengurusan sama, supaya tenaga para pendidik dapat diintegrasikan dalam waktu persekolahan, iaitu bagi memenuhi maslahat dan kemudahan para ibu bapa dan penjaga ketika menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.

    Baginda Sultan turut menekankan penerapan ilmu agama dan nilai-nilai murni sebagai pasak bagi mengukuhkan jati diri bangsa.

    “Oleh itu, generasi muda yang merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dibawa untuk mengenali dan menghayati ajaran-ajaran agama,” titahnya Baginda.

    Di penghujung titahnya, Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 pada tahun ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...