Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pelihara Perpaduan ASEAN agar relevan untuk dialog membina

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Infofoto

    LABUAN BAJO, INDONESIA, 11 MEI – Persaingan kuasa-kuasa utama yang semakin memburuk termasuk di rantau Asia Pasifik, antara lainnya telah mengakibatkan gangguan rangkaian pembekalan global, ketidaktentuan ekonomi, peningkatan blok minilateral dan peralihan perikatan strategik.

    Oleh itu, ASEAN perlu memelihara dan mempertahankan Perpaduan ASEAN bagi memastikan ASEAN kekal relevan sebagai satu wadah untuk berdialog secara membina.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berlangsung di Komodo Ballroom, Pusat Konvensyen Meruorah, Labuan Bajo, Republik Indonesia, hari ini.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Ke arah ini, Baginda percaya bahawa ASEAN perlu tekun berusaha untuk melaksanakan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific bagi memastikan ASEAN kekal sebagai wadah untuk berdialog dan bekerjasama ke arah kemajuan, keamanan dan kemakmuran.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berlangsung di Labuan Bajo, Republik Indonesia, kelmarin. Berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-15.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain di Komodo Ballroom, Pusat Konvensyen Meruorah, Labuan Bajo, Republik Indonesia. Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Presiden Indonesia semasa Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-15. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda turut menyentuh mengenai situasi di Myanmar di mana penyelesaian masalah di negara berkenaan adalah di tangan rakyat negara tersebut melalui proses yang dipimpin dan dimiliki oleh Myanmar. Oleh itu, ASEAN perlu untuk terus memudahcarakan persekitaran yang kondusif bagi proses perdamaian.

    Pada mengakhiri titah, Baginda mencadangkan ASEAN perlu mempertimbangkan untuk berbincang bersama Myanmar dalam masa terdekat bagi menekankan kebimbangan terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, yang telah dipersetujui oleh para pemimpin
    ASEAN pada tahun 2021.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, di mana semasa persidangan tersebut Baginda melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama BIMP-EAGA yang terus berkembang maju, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak tercetusnya pandemik COVID.

    Baginda menambah, pembukaan semula sempadan telah memudahkan penyambungan perkhidmatan pengangkutan dan pergerakan bekalan dan penduduk, sekali gus menyediakan peluang-peluang seperti pelancongan dan perdagangan rentas sempadan di sub-serantau ini.

    Ke arah ini, projek kerjasama bersama akan mengukuhkan lagi rantaian bekalan dan memastikan kawasan pertumbuhan BIMP-EAGA sebagai pusat pengeluaran bagi rantau ini.

    Ini juga menggariskan kepentingan kesalinghubungan sebagai pemacu pertumbuhan dan aktiviti-aktiviti perekonomian.

    Dengan adanya norma baharu dalam melaksanakan perniagaan era pasca COVID, Baginda bertitah bahawa ianya adalah penting untuk memajukan digitalisasi melalui projek-projek berkaitan ICT bagi mensejajarkan kerja-kerja BIMP-EAGA yang dilaksanakan di peringkat ASEAN, termasuk Digital Economy Framework Agreement dan Bandar Seri Begawan Roadmap on Digital Transformation.

    Pada mengakhiri titah, Baginda bertitah menyatakan bahawa pemindahan ibu kota Republik Indonesia, iaitu Nusantara, ke Kalimantan akan membuka lebih banyak peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan di sub-serantau ini.

    Oleh itu, BIMP-EAGA adalah digalakkan untuk memanfaatkan peluang-peluang tersebut dengan mempertingkatkan penyelarasan dan memudahcarakan inisiatif-inisiatif BIMP-
    EAGA.

    Pada penghujung sidang kemuncak ini, para pemimpin BIMP-EAGA bersama-sama meluluskan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-15.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...