Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang jana pendapatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Para peserta program pembangunan keusahawanan Bank Islam Brunei Darussalam, BIBDSEED, terdiri daripada ibu-ibu yang kurang bernasib baik, kini mempunyai tempat sesuai yang baharu untuk menjual dan menawarkan produk masing-masing kepada orang ramai setelah disediakan ruang niaga di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Ruang berkenaan mampu memuatkan tiga perniagaan dalam satu masa dan para peserta BIBDSEED Kohort ke-2 akan berganti untuk mengisikan tempat jualan berkenaan setiap bulan.

    Pelancaran ruang niaga yang terletak di atrium bangunan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga berkesudian menyampaikan sijil kepada 10 peserta BIBDSEED Kohort ke-2 yang menandakan berakhirnya fasa ke-5 bagi program berkenaan.

    Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah menyatakan bahawa penempatan kali ini akan menyediakan pengalaman keusahawanan langsung dan kehidupan sebenar kepada para peserta BIBDSEED.

    “Melalui pasaran ini, mereka kini akan mempunyai tempat dan menghadapi persaingan sihat daripada peniaga yang telah sedia ada dan berpusat di sana. Ini juga boleh menjadi batu loncatan bagi mereka untuk terus berkembang,” jelas beliau lagi.

    Sementara itu, peruntukan ruang niaga baharu berkenaan melambangkan sokongan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam bekerjasama dengan BIBD bagi memperkasa golongan kurang bernasib baik untuk menjadi usahawan yang berjaya.

    Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman serta para pegawai kanan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan BIBD.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) ketika merasmikan ruang niaga yang terletak di Atrium Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) ketika meninjau ruang niaga yang terletak di Atrium Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda