Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang rasai pengalaman Panglima Awang keliling dunia

    Oleh Norhidayyu Zainal –

    KUALA LUMPUR – Pernahkah awda terfikir untuk merasai pengalaman pengembaraan seorang hamba tawanan perang berbangsa Melayu pertama, Panglima Awang atau Enrique de Malacca ketika mengelilingi dunia pada abad ke-15?.

    Kini, dengan kecanggihan teknologi Sistem Metasemesta Galeri REKA (METTAREKA), awda berpeluang menelusuri sejarah pengembaraan itu, menerusi pameran Enrique de Malacca Memorial Project karya Ahmad Fuad Osman di Balai Seni Negara, di sini yang bermula 14 Disember hingga 31 Januari depan.

    Enrique de Malacca Memorial Project adalah pameran koleksi tetap negara di Galeri REKA sejak 2016, memaparkan kisah seorang pemuda Melayu pertama, Panglima Awang atau Enrique de Malacca yang juga dikenali sebagai Henry The Black yang mengelilingi dunia bersama angkatan Ferdinand Magellan pada 1519 hingga 1522.

    Walaupun hanya berdiri setempat, menerusi topeng mata dan peralatan yang mengawal pergerakan, penulis yang diberi peluang mencuba peralatan tersebut dibawa ‘menjelajah’ ke seluruh pameran itu sehingga 360 darjah sambil diiringi sistem bunyi yang padu dalam memberi penerangan.

    Biarpun pemandangan hanyalah visual semata-mata, penulis juga tidak dapat lari daripada rasa gayat dan berdebar terutamanya ketika berada di atas kapal pelayaran yang ‘berada di tengah lautan’ sambil terdengar bunyi angin dan kicauan burung.

    Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad (kanan) bersama Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (tengah) merasai pengalaman menggunakan teknologi Sistem METTAREKA menelusuri sejarah pengembaraan pada pameran Enrique de Malacca Memorial Project, baru-baru ini. – Bernama
    Amerrudin Ahmad (dua, kanan) bersalam bersama Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (dua, kiri) selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara LPSVN dan UKM serta pelancaran projek METTAREKA di Balai Seni Negara, baru-baru ini. – Bernama

    Inisiatif mengembalikan nostalgia sebelum negara mencapai kemerdekaan itu dipacu oleh Balai Seni Negara dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Ketua Projek METTAREKA, Prof Madya Dr Tengku Siti Meriam Tengku Wook berkata, METTAREKA adalah sistem persekitaran maya yang menerapkan teknologi metasemesta (metaverse) supaya bersedia untuk mengubah cara pengguna mendalami dan meneroka sejarah maritim Asia Tenggara pada abad ke-15.

    Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengurusan dan Perisian Teknologi Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Uiversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata sistem ini memberi tumpuan kepada interaksi kolaboratif untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan.

    “Kita merevolusi pembelajaran sejarah dengan menawarkan pengalaman pembelajaran yang dinamik dan menarik kerana ia menggabungkan unsur realiti maya dan penceritaan digital untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang melangkaui sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) dan UKM serta pelancaran projek METTAREKA di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

    Majlis perjanjian penyelidikan itu ditandatangani antara Ketua Pengarah LPSVN, Ameruddin Ahmad dan Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid.

    Mengulas lanjut, Tengku Siti Meriam berkata sistem METTAREKA terdiri daripada empat modul yang direka untuk menyediakan pengguna dengan penerokaan komprehensif sejarah maritim Asia Tenggara iaitu navigasi ruang Galeri REKA secara 360 darjah, animasi karakter 3D Panglima Awang, model kompas navigasi, Astrolabe dan pengalaman teleportasi di Kapal Trinidad.

    “Teknologi imersif dalam pendidikan telah mencapai tahap baharu dengan pembangunan METTAREKA yang memudahkan interaksi masa nyata melalui identiti digital seperti avatar dan kandungan pembelajaran dalam talian menerusi penggunaan peranti boleh pakai (wearable device), termasuk set kepala realiti maya dan tablet.

    “Oleh itu, pengunjung boleh mengakses maklumat secara visual, memanipulasi objek 3D dan berinteraksi secara kolaboratif dengan pengguna lain bagi meningkatkan pemahaman mereka tentang konteks sejarah,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata projek itu juga bertujuan memanfaatkan teknologi VR sebagai saluran untuk mempamerkan warisan seni visual pada skala global.

    Sementara itu Dr Hanafiah berkata sistem METTAREKA dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM menerusi dana Geran Translasi UKM.

    “Ia bukan sekadar sistem, sebaliknya adalah pintu masuk ke era pembelajaran baharu dengan pembelajaran sejarah yang lebih menyeronokkan dan pengguna bukan lagi sekadar pemerhati pasif,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda