Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Para peminat seni tempatan berpeluang menyaksikan pameran seni luar biasa dan berharga pada Pameran Seni School of Paris and the Current European Artists yang telah dirasmikan, hari ini, di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan di mana ia akan berlangsung sehingga 10 Disember.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Zulzalani bin Haji Osman selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Presiden Alliance Francaise de Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah bersama Francesco Balsamo dari Archivio Generale Vincenzo Balsamo yang merupakan anak mendiang Maestro Vincenzo Balsamo and Valerio Ballotta dari GBK Malta.
Pameran berkenaan mempamerkan lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh pendatang dari negara lain ke Perancis pada awal abad ke-20 untuk mencari inspirasi dan berkongsi idea dan budaya antara satu sama yang lain seperti Amedeo Modigliani.
Sebanyak 12 karya terbaik Modigliani yang didatangkan oleh Valerio Ballotta dari keluarga Modigliani di Paris.
Atelier Huifong Ng, HuiFong Ng selaku pengajur acara berkenaan berkata, ini merupakan karya penting Modigliani.
“Kami juga berpeluang mempamerkan karya seni lain daripada artis seperti Jeanne Hébuterne, Giorgio Morandi, Giacomo Balla, Rene Gilles, Jules Pascin dan Vincenzo Balsamo,” tambah beliau.
Pameran berkenaan adalah bersempena dengan Festival Disember Brunei, dengan tujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Brunei dan pelancong untuk menyaksikan karya seni dari Perancis dan Itali, tanpa perlu melakukan perjalanan ke Eropah.

