Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluru meriam usia 100 tahun selamat dipindah

    BELGRADE, 23 SEPT – Sebuah peluru meriam seberat hampir 300 kilogram, dipercayai tinggalan Perang Dunia Pertama, berjaya dipindahkan dengan selamat dari tapak pembinaan berhampiran Parlimen Serbia, di Belgrade, menurut kenyataan polis, kelmarin.

    Peluru meriam berukuran 305mm jenis Morser M.11 itu, ditemukan pada Rabu lalu, dipercayai digunakan oleh tentera Austro-Hungary semasa pengepungan ibu kota pada Julai 1914, semasa Perang Dunia Pertama, jelas Menteri Dalam Negeri Serbia, Ivica Dacic, sebelum operasi pemindahan dijalankan.

    Polis telah mengeluarkan arahan kepada penduduk setempat untuk memindahkan kenderaan mereka dan menasihatkan agar berhati-hati, termasuk meninggalkan kediaman mereka jika perlu.

    Peluru tersebut telah dibawa ke kawasan berpasir kira-kira 60 kilometer dari Belgrade, di mana ia dimusnahkan dengan selamat.

    Serbia sebelum ini kerap menemukan bom tinggalan perang, namun semuanya berjaya dipindahkan tanpa insiden letupan. Pada April lalu, sebuah bom besar peninggalan pengeboman NATO 1999 ditemukan di Nis, Serbia Selatan, manakala pada tahun 2021, sebuah bom seberat 242 kilogram tinggalan Perang Dunia Kedua telah dikeluarkan dari tapak pembinaan di pinggir bandar Belgrade. – AFP

    Seorang pegawai unit polis khas mendekati peluru artileri WWI 300 kilogram di tapak pembinaan berhampiran Parlimen Serbia di Belgrade, pada 22 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda