LOS ANGELES, 17 DIS – Pemain golf Amerika Syarikat (AS) akan dibayar untuk bermain dalam Piala Ryder buat pertama kali selepas PGA memperkenalkan sebuah program kelmarin yang akan memberi setiap ahli pasukan bayaran sebanyak AS$200,000 dan AS$300,000 untuk diagihkan kepada badan amal.
Program itu akan berkuat kuasa pada Piala Ryder 2025 di Bethpage Black, New York.
PGA Amerika berkata dalam satu kenyataan bahawa lembaga pengarah mereka telah mengundi untuk langkah itu, yang meningkatkan jumlah AS$200,000 yang telah diberikan kepada setiap pemain untuk disumbangkan kepada badan amal pilihan mereka sejak edisi 1999 yang diadakan di Brookline.
PGA AS juga berkata tiada pemain yang meminta bayaran, tetapi isu bayaran untuk bermain dalam acara berprestij tersebut dilaporkan menjadi sumber ketegangan dalam pasukan AS pada edisi-edisi sebelumnya.
Akhbar USA Today memetik satu surat kepada bekas kapten-kapten Piala Ryder daripada presiden PGA Amerika, Don Rea, yang mengatakan bahawa bayaran itu ditambah ‘atas penghormatan kepada pemain’ dan akan berasingan daripada apa yang diterima pemain untuk perbelanjaan.
“Ia adalah pengiktirafan untuk segala yang telah dilakukan oleh para pemain untuk Piala Ryder sepanjang tahun,” tulis Rea.
Apabila laporan mengenai pampasan untuk pemain AS muncul bulan lalu, bintang Piala Ryder Eropah yang lama, Justin Rose dan Rory McIlroy, berkata mereka tidak memerlukan insentif kewangan untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan yang sering emosional itu.
“Saya rasa bagi kami, kami bermain untuk lencana dan kami juga bermain untuk Jelajah Eropah,” kata Rose. – AFP