KUALA LUMPUR, 28 JAN – Impak kontroversi yang melanda skuad kebangsaan Malaysia susulan kegagalan di Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020 baru-baru ini, turut dirasai barisan pemain muda Malaysia.
Apa yang menggusarkan, siri kejohanan yang bakal diharungi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan musim ini, antaranya Kejuaraan B-23 AFF dan Piala Asia B-23, meletakkan anak buah Brad Maloney sebagai ‘mangsa’ seterusnya jika gagal menghadirkan keputusan diharapkan penyokong.
Penyerang Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar mengakui sebagai pemain yang menyarung jersi pasukan Malaysia, beliau sedikit terkesan dengan segala reaksi negatif dan kecaman melampau dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial.
Namun, pemain berusia 22 tahun itu tetap menghormati hak penyokong untuk memberikan pandangan sambil menegaskan jika skuad kebangsaan tidak ingin dikecam, mereka perlu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.
“Berdasarkan apa yang saya nampak, saya ambil yang positif saja. Biarlah mereka (penyokong) nak kecam apa pun, tugas kita senang, hanya satu iaitu balas dengan kemenangan. Kalau kita bagi kemenangan dan muncul juara, tiada lagi kecaman,” katanya. – Bernama
