Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Sambutan Hari Raya Aidilfitri menampilkan pelbagai juadah dan fesyen, termasuk trend pakaian sedondon bagi setiap keluarga. Hal ini menambah suasana ceria perayaan tersebut.
Kaum lelaki dan kanak-kanak juga tidak ketinggalan untuk bergaya dengan mengenakan dastar, yang dahulunya merupakan pakaian harian sebelum adanya songkok. Kini ia dipandang sebagai trend dan fesyen, namun ia mampu mengembalikan keunikan budaya bangsa Melayu dan memberi ilmu kepada generasi masa kini.
Beberapa orang yang diwawancara mengungkapkan kesan positif pemakaian dastar, termasuk kain songket dan tambatan dastar yang cantik.
Bagi Awang Asmahwati yang memberi pandangan dengan pemakaian dastar dalam kalangan kanak-kanak ini, walaupun ia dianggap satu trend atau mungkin fesyen, tapi ia secara tidak langsung mampu mewujudkan kembali keunikan budaya bangsa melayu suatu ketika dahulu.
“Dalam masa yang sama dapat memberi ilmu kepada generasi kanak-kanak masa kini yang mana pemakaian dastar satu ketika dulu bukan hanya digunakan dalam acara-acara tertentu saja tapi ia adalah pakaian harian bangsa Melayu,” jelasnya.
Manakala tembual media bersama Awang Haidar Syazry yang telah mengongsikan pengalaman pertama beliau memakai dastar semasa Hari Raya.
“Walaupun pada awalnya berasa janggal memakai dastar kerana sudah terbiasa memakai songkok tapi setelah mencuba dan melihat ia sesuatu yang sangat unik kerana kepala dihiasi dengan kain songket dan tambatan dastar yang cantik,” jelasnya.