PARIS, 25 DIS – Kejadian seorang pemandu kereta api yang bunuh diri ketika sedang bertugas telah menyebabkan penangguhan dalam trafik kereta api Perancis, kata pengendali SNCF hari ini.
Kira-kira 3,000 penumpang kereta api telah terjejas oleh penangguhan dalam perkhidmatan antara Paris dan tenggara Perancis yang bermula kelmarin hingga hari ini.
Sebanyak 10 buah kereta api berkelajuan tinggi (TGV) telah ditangguhkan sehingga lima jam kelmarin selepas kejadian bunuh diri pada malam Hari Natal, yang merupakan masa yang sangat sibuk bagi perjalanan.
Pejabat pendakwa raya di Melun, tenggara Paris, berkata kepada AFP, pemandu itu mati selepas terjun dari kereta api yang sedang bergerak. Mayatnya ditemui kemudian berhampiran landasan.
“Tanpa seorang pemandu mengendalikan kereta api, prosedur kecemasan automatik kereta api telah dilakukan, menyebabkannya berhenti,” kata pejabat itu.
Siasatan dalam kejadian itu sedang dijalankan dan SNCF juga telah mengesahkan kematian pemandu tersebut.
SNCF mengesahkan pemandu bunuh diri ketika kereta api sedang bergerak.
Bagaimanapun, tidak timbulnya ancaman kepada keselamatan penumpang di dalam kereta api, atau pada perkhidmatan di tempat lain dalam rangkaian berkenaan, tambah SNCF. – AFP