Wednesday, May 1, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Pemandu Uber ditembak mati di Ohio

    OHIO, 17 APRIL – Seorang lelaki Ohio yang dikatakan pihak berkuasa telah menembak mati seorang pemandu Uber yang disangka cuba merompaknya selepas panggilan telefon palsu memperdaya mereka berdua, telah didakwa atas tuduhan membunuh.

    William Brock, 81, juga menghadapi tuduhan menculik dan serangan kejam dalam dakwaan yang diserahkan Isnin lalu oleh juri, Clark County.

    Dokumen mahkamah tidak menyenaraikan peguam untuknya dan nombor telefon untuk Brock juga tidak dapat dikesan. Dia telah mengaku tidak bersalah dan boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah atas tuduhan tersebut.

    Tembakan itu berlaku pada 25 Mac di rumah Brock di South Charleston. Pegawai dari pejabat syerif daerah bertindak balas di tempat kejadian, selepas Brock menghubungi 911 dan berkata dia telah menembak seseorang yang cuba merompaknya.

    Brock telah menerima panggilan palsu daripada seseorang yang berpura-pura menyamar sebagai pegawai dari mahkamah tempatan yang akhirnya mula membuat ugutan dan menuntut wang, kata pihak berkuasa.

    Mangsa, Loletha Hall, 61, adalah pemandu Uber yang telah diberitahu untuk mengambil bungkusan dari rumah Brock, di mana pihak berkuasa mengatakan ia mungkin dibuat oleh pemanggil palsu yang sama atau rakan sejenayah. Sementara itu, Hall tidak mengetahui tentang panggilan tersebut, kata pihak berkuasa.

    Apabila dia tiba di rumah dan keluar dari keretanya, Brock telah mengeluarkan pistol dan mendesaknya untuk memberitahu orang yang membuat panggilan ancaman itu. Dia juga telah mengambil telefon bimbit Hall dan tidak membenarkannya pergi.

    Apabila Hall cuba melarikan diri, Brock menembaknya sekali, kata pihak berkuasa, kemudian menembaknya kali kedua semasa mereka membincangkan situasi itu. Brock kemudian menghubungi 911 sejurus selepas dia melepaskan tembakan ketiga.

    Hall telah dibawa ke hospital tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya. Perbicaraan mahkamah seterusnya dijadualkan pada Isnin. – AP

    Gambar menunjukkan Brock (kanan), memegang senjata sambil menghalakannya ke arah Hall di luar rumahnya di South Charleston, Ohio pada 25 Mac.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka tambah 49 zon pelancongan

    COLOMBO, 30 APRIL - Kerajaan Sri Lanka merancang untuk menambah 49 lokasi tambahan sebagai zon pelancongan rasmi, kata Menteri Pelancongan, Diana Gamage di sini...