Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun meninggal dunia apabila kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta yang berlaku sekitar pukul 11:50 kelmarin di kawasan Jalan Serasa, Muara.
Menurut siasatan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Muara, mangsa warga tempatan dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum kejadian berlaku.
Sejurus laporan mengenai kejadian berkenaan diterima, pegawai penyiasat PPDB segera pergi ke tempat kejadian dan mendapati seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih berada di kenderaannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Manakala sebuah lagi kenderaan telah terbabas ke tepi jalan raya lalu memasuki longkang di kawasan tersebut, walau bagaimanapun pemandu berkenaan dalam keadaan selamat.
Paramedik bertugas yang berada di tempat kejadian telah membuat pemeriksaan dan seterusnya mengesahkan bahawa pemandu yang tidak sedarkan diri itu telah pun meninggal dunia.
Menurut PPDB, siasatan bagi mengetahui akan punca sebenar kemalangan masih dijalankan.
Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama para pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan juga menanamkan sifat bertolak ansur.



