Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemanduan mewah dengan Porsche Cayenne S

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Sesuai dengan jenama Porsche yang terkenal dengan kereta sport mewah, Porsche Cayenne S bukan sahaja memiliki keterampilan dan gaya yang elegan lagi menawan malah memberikan pengalaman pengemudian kereta SUV yang luar biasa.

    Petang tadi, wartawan Media Permata berpeluang merasakan sendiri pengalaman mengemudi Porsche Cayenne S generasi ketiga di sekitar kawasan Perindustrian Beribi Gadong hingga ke Lebuh raya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Mukim Gadong, Katok.

    Sepanjang pemanduan tersebut, salah seorang konsultan jualan Porsche Brunei turut menyertai pandu uji berkenaan dengan menerangkan beberapa kelebihan yang terdapat pada SUV mewah tersebut terutamanya dalam memastikan penggunaan fitur-fitur canggih di bahagian dalaman dapat digunakan dengan baik dan betul.

    Pertama kali memasuki kereta berkenaan sudah dapat merasakan kemewahannya dengan tempat duduk yang cukup selesa, sangat sesuai

    bagi perjalanan jauh ataupun dalam kesesakan jalan di bandar raya yang memenatkan.

    Porsche Cayenne S yang tampak mewah dan sportif.
    Porsche Cayenne S dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini.

    Meskipun Porsche Cayenne S merupakan kenderaan SUV sederhana besar, namun ia jelas dapat memberikan rasa sport bagi sesiapa yang mengemudikannya sehinggakan di saat kenderaan memecut, terasa seperti berada dalam kereta yang cukup ringan dan mampu mencapai kelajuan yang dimahukan dengan mudah.

    Di samping mod pengemudian Normal, Porsche Cayenne S turut menyediakan beberapa mod lainnya seperti Sport.

    Ketika menukar mod Normal kepada Sport, kenderaan terasa lebih ringan dan selesa ketika memandunya apatah lagi semasa berada di lebuh raya yang panjang.

    Secara jujurnya dengan menggunakan mod Normal sudah dapat merasakan keselesaan memandu kenderaan tersebut, apatah lagi apabila mod ditukar kepada Sport.

    Salah satu perkara yang menarik perhatian semasa memandu uji Porsche Cayenne S tersebut adalah kestabilan pengemudiannya terutamanya semasa membuat belokan di kawasan pusing keliling yang cukup mantap.

    Di samping itu, penggunaan kamera di bahagian belakang kenderaan dan kamera dari bahagian atas yang dikenali sebagai ParkAssist turut memberikan nilai tambah bagi memudahkan pengemudi meletakkan kenderaan secara berundur atau melintang dengan lebih lancar.

    Bagi orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan melihat secara langsung dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Porsche Centre Brunei yang terletak di Tapak Perindustrian Beribi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda